London: West Ham mengikat pemain remaja kebangsaan Argentina, Manuel Lanzini secara pinjaman dari kelab Emiriah Arab Bersatu, Al Jazira dengan pilihan mengambilnya secara tetap, umum kelab Liga Perdana itu kelmarin.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu yang tampil menerusi sistem remaja kelab ternama Argentina, River Plate, sudah beraksi empat kali pada peringkat B-20.

“Saat ini amat menggembirakan kerana ia pasukan terbaik pernah saya sertai,” katanya dalam laman web kelab itu (www.whufc.com).

“Ia satu langkah penting karier dan masa depan saya.”

Lanzini muncul pembelian ketujuh West Ham pada musim panas ini berikutan kehadiran Dimitri Payet, Angelo Ogbonna, Pedro Obiang, Carl Jenkinson, Stephen Hendrie dan Darren Randolph. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 12:23 PM