KHIR tetap pulang ke kampung jenguk generasi tua yang masih ada.
KHIR tetap pulang ke kampung jenguk generasi tua yang masih ada.
Oleh Nor Akmar Samudin


Pesan bapa supaya ingat asal usul dan pulang menjenguk keluarga di kampung sentiasa tersemat di hati pelakon berkarisma, Khir Rahman, 42.

Justeru itu, tanggal 1 Syawal lalu, dia dan kelurga pulang beraya dengan sanak-saudara sebelah bapanya, Datuk A Rahman Hassan di Larkin, Johor serta menziarah keluarga arwah ibunya, Datin Azizah Mohamad di Kluang.

Walaupun datuk dan nenek sudah lama meninggal dunia, mereka tetap pulang ke kampung untuk menjenguk generasi tua yang masih ada.

“Pesan abah, apabila menetap di bandar jangan lupa asal usul. Selagi ada orang tua di kampung baliklah menjenguk mereka. Kenal dengan semua saudara-mara terutama generasi baru agar apabila tiada orang tua, hubungan persaudaraan itu terus terpelihara.

“Rumah pusaka tinggalan Tok Abah masih elok terjaga. Ada saudara yang tolong tengok-tengokkan dan menjaga luar dan dalam rumah bagi memastikan ia tetap elok seperti dulu kerana apabila balik kampung kami menginap di situ.

“Kami beraya di rumah rumah itu. Sehari sebelum balik, kami menempah nasi beriani gam dan pelbagai juadah popular Johor yang lain,” katanya yang mengadakan rumah terbuka di kediaman bapanya di Hulu Kelang.

Ujar bapa kepada Nian Nusaibah, 8 dan Haqiqat Hambah, 5 ini , lebih istimewa apabila ibu tirinya, Datin Fadilah Mansor turut beraya di Larkin buat pertama kalinya selepas bernikah dengan bapanya pada Disember lalu.

Khir yang mendirikan rumah tangga dengan penulis novel dan skrip terkenal, Siti Jasmina Ibrahim, 39, berkata isu giliran beraya tidak timbul kerana keluarga mentuanya menetap di Kuala Lumpur.

Berlakon dua filem

Sepanjang Ramadan lalu, Khir terbabit dengan penggambaran dua filem iaitu Sang Penakluk arahan rakan karibnya, Sofi Jikan dan Memori Realiti sentuhan pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Penggambaran dua filem itu dijalankan sekitar Kuala Lumpur, jadi tidak ada masalah untuk saya berulang-alik. Pembabitan saya adalah untuk bantu kawan.

“Raya pertama lalu, filem lakonan saya, Gangster Rock mula ditayangkan di pawagam. Ia juga filem arahan Sofi Jikan,” katanya.

Perkembangan lain, Khir bersama bandnya, Layor yang turut dianggotai Shamsul Khairil dan Fazli Rahman muncul dengan singel terbaru berjudul #hamba.

“Menerusi lagu ini, kami menyelitkan mesej keharmonian dan kesejahteraan. Lagu ini ciptaan saya sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:06 AM