KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan masih sesak dengan pertambahan kenderaan setakat 10 malam ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berkata, aliran trafik dari utara di Lebuhraya Utara-Selatan sesak dari Bukit Gantang ke Bukit Berapit dan Kuala Kangsar ke Hentian Rawat dan Rehat Sungai Perak.

Beliau berkata, aliran trafik juga perlahan dari Ipoh ke Hentian Sebelah Simpang Pulai serta dari Tapah ke Slim River.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, pertambahan kenderaan turut menyebabkan aliran trafik perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari Bentong ke Bukit Tinggi serta sebelum Plaza Tol Gombak hingga ke persimpangan pusat bandar.

Bagaimanapun, aliran trafik masih lancar di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Lebuhraya Pantai Timur 2, katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twittercom/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 11:40 PM