PESERTA bergambar kenangan bersama Dr Mohd Fauzi.
PESERTA bergambar kenangan bersama Dr Mohd Fauzi.
SEBAHAGIAN peserta Program Inkubasi Usahawantani 2015.
SEBAHAGIAN peserta Program Inkubasi Usahawantani 2015.
GRADUAN yang mengikuti program inkubasi usahawantani UPM.
GRADUAN yang mengikuti program inkubasi usahawantani UPM.
GRADUAN yang mengikuti program inkubasi usahawantani UPM.
GRADUAN yang mengikuti program inkubasi usahawantani UPM.
DR Mohd Fauzi menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Program Inkubasi Usahawantani.
DR Mohd Fauzi menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Program Inkubasi Usahawantani.
Oleh Mohamad Hussin

Penganjuran Program Inkubasi Usahawantani Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat sambutan apabila 44 graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menamatkan kursus masing-masing.

Program Inkubasi Usahawantani adalah program pembangunan usahawan pertanian yang dimulakan awal tahun 2012.

Kursus khas keusahawanan kepada bakal usahawan pertanian dan ditawarkan kepada graduan UPM atau luar yang berwibawa bagi melaksanakan projek pertanian.

Seramai 44 graduan mengikuti program ini membabitkan lima modul iaitu tanaman fertigasi rock melon, ternakan ikan tilapia, ternakan ayam kampung kacukan, ekopelancongan dan perkhidmatan makanan.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, peserta bukan saja mempelajari pengurusan projek, tetapi mendapat pendedahan mengenai teknik perundingan perniagaan berkesan.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 191 graduan menamatkan program mereka sejak ditubuhkan empat tahun lalu.

“Program Inkubasi Usahawantani turut mendapat pengiktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, menerusi perjanjian persefahaman (MoU) antara UPM dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada 15 Julai 2013.

“Menerusi kerjasama ini, semua peserta program ini akan menjadi ahli kelab Myagrosis dan mendapat kad keahlian.

“Ini membolehkan mereka mendapat pinjaman melalui ‘green lane’ untuk memulakan perniagaan sama ada daripada Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN),” katanya pada majlis penutup Program Inkubasi Usahawantani 2015 di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Hadir sama, Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Abdul Shukor Juraimi dan Presiden Persatuan Alumni UPM Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

Mohd Fauzi berkata, program ini mencapai objektifnya iaitu bagi melahirkan usahawan tani cemerlang dan berwibawa yang bersedia untuk melaksanakan projek pertanian selepas menamatkan kursus masing-masing.

“Awal tahun ini, 13 syarikat ditubuhkan yang membabitkan 20 peserta daripada jumlah graduan tahun ini. Ini bermakna 57 peserta bersedia untuk memulakan perniagaan mereka.

“Pada tahun 2012 dan 2013, dua projek daripada peserta program ini memenangi hadiah dalam pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi kategori ‘best student enterprise’.

“Pada tahun ini, unit Inkubasi menghantar tiga pencalonan ke pertandingan Keusahawan Kementerian Pendidikan 2015 iaitu dalam kategori ‘best student enterprise awards, ‘best entreprenuership project awards dan ‘best entreprenuership mentor awards,” katanya.

Menurutnya, kursus itu adalah percuma dan setiap peserta diberi elaun RM1,000 sebulan, namun kursus itu diberi kepada mereka yang betul-betul menunjukkan minat tanpa mengira bidang pengajian untuk menjadi usahawan tani.

“Semua peserta akan diberi peluang menguruskan projek secara komersial mengikut bidang masing-masing, bermula daripada penyediaan kertas projek, pelaksanaan hinggalah pemantauan dan pemasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 8:41 AM