DUA petugas Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memantau paparan skrin bagi mengawasi kelancaran trafik kenderaan di Pusat Kawalan Trafik LLM. FOTO Bernama
DUA petugas Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memantau paparan skrin bagi mengawasi kelancaran trafik kenderaan di Pusat Kawalan Trafik LLM. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Aliran trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di kedua-dua arah lebuh raya itu dilaporkan perlahan di beberapa tempat berikutan peningkatan jumlah kenderaan setakat 5.45 petang ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd memberitahu, aliran trafik perlahan dari Simpang Ampat ke Pedas di Linggi, Tapah menghala ke Gopeng, Tol Ipoh (U) ke Kuala Kangsar dan Hentian Bukit Gantang ke Changkat Jering.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik sedikit sesak di Plaza Tol Gombak menghala ke ibu negara.

“Ini berikutan berlaku kemalangan kecil berhampiran Plaza Tol Gombak bagaimanapun, kenderaan terbabit telah dialihkan di lorong kecemasan.

“Selain itu, aliran trafik turut perlahan di susur keluar Plaza Tol Chenor dan susur keluar dan masuk Plaza Tol Kuala Terengganu,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2015 @ 7:43 PM