LOW dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
LOW dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Seorang bekas pemandu lori terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mendapati dia tidak waras ketika membunuh jirannya, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman SM Komathy Suppiah memerintahkan tertuduh Low Seng Fah, 65, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) Tanjung Rambutan, dekat sini, selama tempoh diperkenankan Sultan Perak.

Low didakwa membunuh Wong Cheong Heng, 76, di hadapan rumah di No 84, Kampung Changkat, Kampar, dekat sini, kira-kira jam 9.30 malam hingga 9.40 malam pada 7 Julai 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Komathy dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan elemen bahawa ketika kejadian tertuduh berada dalam keadaan mental yang tidak waras dan tidak sedar akibat daripada perbuatannya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:12 AM