ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah bangunan yang musnah dalam serangan bom di Sungai Golok, kelmarin.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah bangunan yang musnah dalam serangan bom di Sungai Golok, kelmarin.
Agensi

Bangkok: Seramai tujuh orang terbunuh dan lebih 12 cedera dalam 10 serangan termasuk lapan serangan bom di selatan Thailand, kata polis semalam.

Tiga terbunuh pada petang kelmarin selepas bom yang dipasang pada sebuah motosikal meletup di luar sebuah pusat karaoke di daerah Sadao di Songkhla.

“Tiga orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan bom berkenaan,” kata timbalan komander polis Songkhla, Puthichart Ekachant.

Di wilayah Narathiwat pula, lapan cedera selepas enam bom meletup di beberapa lokasi di Sungai Golok pada petang kelmarin.

Serangan bom itu disasarkan terhadap beberapa lokasi termasuk sebuah pusat karaoke di Sungai Golok dan Hotel Top Asia di Soi Pracha Vivat 2.

Sebuah lagi bom meletup di daerah Than di Yala menyebabkan lapan tiang elektrik rosak.

Tidak lama selepas tengah malam semalam, beberapa suspek membakar tiga premis perniagaan di Sungai Golok.

Serangan itu menyebabkan tiga orang maut kerana gagal keluar menyelamatkan diri dari bangunan yang terbakar.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 35 tahun maut selepas ditembak penyerang tidak dikenali di Sungai Golok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:05 AM