KUA (kanan) menerangkan perkembangan projek 8 Conlay.
KUA (kanan) menerangkan perkembangan projek 8 Conlay.

Kuala Lumpur: KSK Land Sdn Bhd (KSK Land) akan melancarkan projek hartanah terbarunya dikenali sebagai 8 Conlay di Jalan Conlay, Kuala Lumpur dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion.

Pengarah Urusan KSK Land, Joanne Kua berkata, projek hartanah bercampur itu membabitkan pembinaan unit apartmen servis, hotel dan ruang komersial.

“Projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 1.6 hektar dan ia menerima sentuhan pereka luaran serta dalaman bagi menyuntik kelainan,” katanya.

Menurutnya, projek itu siap menjelang 2020 serta dibangunkan dengan dua menara masing-masing setinggi 62 dan 57 tingkat.

“Untuk menara ini, ia menempatkan apartmen servis manakala satu lagi menara setinggi 68 tingkat memuatkan hotel serta podium sembilan tingkat mengandungi ruang runcit, dewan dan tempat letak kereta,” katanya selepas sesi taklimat media di sini, baru-baru ini.

Kua berkata, projek 8 Conlay yang dilancarkan pada suku ketiga tahun ini menawarkan 1,062 unit apartmen servis berkeluasan 682 hingga 1,295 kaki persegi yang dibangunkan menerusi dua menara berasingan.

Hotel pula akan beroperasi dan diuruskan Kempinski Hotels dengan menawarkan 260 bilik serta 300 suite strata.

“Konsep pembangunan 8 Conlay adalah hartanah bercampur berjenama berkualiti tinggi dan mendapat sentuhan serta rekaan eksklusif yang dijual pada harga sekitar RM2,700 sekaki persegi.

“Lebih menarik, kami akan membangunkan hartanah dengan konsep bersepadu penuh, bukan saja dari segi rekaan dalaman, malah luaran pula diterapkan ciri hijau dan alam sekitar,” katanya.

Bagi pembangunan jenis komersial pula, Kua berkata, ia akan diuruskan pleh KSK Land dengan syarikat itu menjangkakan 50 peratus daripada ruang komersial untuk unit makanan dan minuman (F&B) manakala bakinya konsep gaya hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:03 AM