Seorang rakan yang pernah bekerja dengan seorang penerbit mengadu kepada SS baru-baru ini. Katanya penerbit itu terlalu berkira soal bayaran dengan kru yang bekerja dengan syarikat produksinya.

Sudahlah bayaran tidak seberapa, dia pula bayar ikut suka hatinya saja. Apa salahnya jika penerbit itu memberi bayaran setimpal dengan komitmen dan kerja keras mereka?

Kalau tiada kru yang mahu bekerja dengannya, dapatkah penerbit itu menerbitkan dramanya bersendirian?

Setahu SS, sebagai produser jarang benar dia menjenguk lokasi penggambaran. Apa yang dia tahu semuanya siap mengikut jadual.

Kalau dia datang ke lokasi pun, mahukah dia menggulung wayar berselirat dan mahukah dia menolong bancuhkan minuman untuk kru dan pelakon?

SS amat yakin dia tidak akan membuat kerja ‘kuli’ itu.

Penerbit itu kenalah ingat yang dia pun bukannya terus hidup senang-lenang, banyak juga onak duri yang terpaksa ditempuhinya sebelum dia dapat duduk di kerusi empuk seperti sekarang.

Bagaimanapun, sudah jenis manusia yang cepat lupa daratan, biar dia saja ‘makan isi’ sementara kru hirup kuah saja.

Demi mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga, terpaksalah kru itu terus bertahan bekerja dengan penerbit itu. Selain itu, mulut produser itu boleh tahan kalau bercakap seperti cili pedasnya.

SS tak mahulah beri nasihat atau apa kerana sebagai seorang manusia, SS rasa penerbit itu boleh berfikir sendiri.

Janganlah sampai ditimpa musibah baru nak ingat kawan-kawan, waktu itu sudah terlambat.

SS: Dunia hari ini, manusia yang berasakan dirinya berkuasa mudah benar lupa diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 11:35 AM