Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mencatatkan keuntungan selepas cukai RM1.6 juta bagi suku ketiga 2014 berakhir 30 September 2014 berbanding kerugian RM44.7 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Tidak termasuk pendapatan dan kos pembinaan, MAHB mencatatkan pendapatan RM1.97 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sembilan bulan tahun ini, 10.7 peratus lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

MAHB dalam kenyataan berkata, hasil operasi yang lebih tinggi disebabkan keputusan lebih baik daripada segmen operasi lapangan terbang apabila bilangan penumpang meningkat 6.8 peratus sepanjang tempoh sembilan bulan ini.

Menurutnya, pertumbuhan penumpang KLIA adalah lima peratus dengan hasil bukan aeronautik juga meningkat 6.6 peratus disebabkan peningkatan dalam ruang sewa di KLIA2.

Hasil bukan lapangan terbang yang merangkumi segmen operasi meningkat 35.5 peratus.

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik untuk semua lapangan terbang terus mencatat pertumbuhan masing-masing sebanyak 6.5 peratus dan 7.2 peratus dengan jumlah pergerakan pesawat meningkat 7.2 peratus kepada 579,323 pesawat.

Pendapatan dihasilkan segmen operasi lapangan terbang meningkat 9.3 peratus kepada RM1.84 bilion dipacu terutama oleh pendapatan aeronautik yang meningkat 11.8 peratus berikutan peningkatan dalam jumlah penumpang dan pesawat.

Peningkatan dalam pendapatan aeronautik juga disebabkan pengiktirafan Kos Marginal Sokongan untuk Caj Perkhidmatan Pelanggan sebagai kadar PSC baru adalah lebih rendah daripada kadar penanda aras yang ditetapkan dalam Perjanjian Operasi yang ditandatangani dengan kerajaan.

Pendapatan bukan aeronautikal mencatatkan pertumbuhan 6.6 peratus kepada RM851.2 juta hasil prestasi lebih baik dalam kadar sewaan ruang perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:02 AM