KEGEMBIRAAN jelas terbayang di wajah kanak-kanak Rumah Kebajikan Baitul Hidayah berbuka puasa bersama pemenang Masak dan Menang.
KEGEMBIRAAN jelas terbayang di wajah kanak-kanak Rumah Kebajikan Baitul Hidayah berbuka puasa bersama pemenang Masak dan Menang.

Peluang berbuka puasa bersama kanak-kanak yang tinggal di rumah kebajikan menimbulkan seribu satu keinsafan. Hati mana yang tidak tersentuh melihat kegembiraan mereka yang mungkin kehilangan tempat bergantung dan terpaksa berpisah daripada keluarga, menjamu selera.

Melihat mereka, menyedarkan kita betapa bertuahnya kita yang masih diberikan peluang tinggal di rumah sendiri bersama keluarga tercinta.

Ini yang dirasai lapan pemenang minggu ketiga dan keempat dalam pertandingan Masak dan Menang anjuran pengeluar sos enak, Mahsuri yang tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama penghuni Rumah Kebajikan Baitul Hidayah di Petaling Jaya.

Penghuni dan tetamu disajikan juadah berbuka yang dimasak menggunakan sos Mahsuri. Malah, kanak-kanak berkenaan dihiburkan dengan persembahan badut selain menyertai permainan seperti kerusi muzik, pop belon dan mencari harta karun, apabila pemenang menerima hadiah dan hamper.

“Ketawa kanak-kanak itu bagaikan irama di telinga kita. Kami amat bersyukur kerana selama ini banyak yang kami abaikan dalam kehidupan seharian. Peluang menghabiskan masa kualiti bersama mereka dan berkongsi pengalaman berbuka puasa ini amat bermakna buat kami. Sebagai jenama pilihan keluarga, kami sentiasa berusaha untuk berbakti kepada masyarakat terutama pada Ramadan ini,” kata Pengarah Pemasaran Mahsuri Carmen Liew.

Menurut pemenang minggu keempat, Nurul Iyliawani Shahrul Amam, peluang berada di majlis yang sederhana itu adalah pengalaman terbaik untuk mengingatkannya erti kegembiraan dan apa yang dimiliki bukan dalam bentuk material.

“Melihat kegembiraan kanak-kanak itu, saya dapat rasakan mereka amat menghargai kehadiran kami. Bagi saya membuatkan kanak-kanak ini gembira adalah ‘hadiah’ paling besar daripada apa yang diterima dalam pertandingan ini,” katanya.

Seramai 24 pemenang yang meraih RM500 hasil ciptaan resipi Buka Puasa menggunakan produk Mahsuri akan melawat empat rumah kebajikan bersama kakitangan Mahsuri sepanjang tempoh pertandingan.

Antaranya adalah Pusat Jagaan Rumah Kesayangan (20 Jun), Rumah Kebajikan Baitul Hidayah (27 Jun), Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari (4 Julai) dan Rumah Nur Sakinah (11 Julai).

Pertandingan Masak dan Menang bermula 28 Mei hingga 8 Julai 2015 ini mengundang orang ramai berkongsi hidangan Buka Puasa ciptaan mereka sendiri yang menggunakan produk Mahsuri menerusi halaman Facebook MyMahsuri dengan hashtag #MyMahsuri #Manis / #Pedas / #Tiram / #Ayam.

Untuk maklumat lanjut mengenai Mahsuri sila ke www.facebook/MyMahsuri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 11:34 AM