MOHD  Isa (tengah)  bersama Zakaria   (kiri)  dan Hanapi pada majlis menandatangani  MoU  Encorp dan FELDA,    semalam.
MOHD Isa (tengah) bersama Zakaria (kiri) dan Hanapi pada majlis menandatangani MoU Encorp dan FELDA, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjalin usaha sama dengan Encorp Berhad bagi membina projek pembangunan bercampur di Bukit Katil, Melaka dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.9 bilion.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, projek membabitkan lima fasa itu bakal menjadi perbandaran bersepadu dan projek pembinaannya akan dimulakan pada 2017.

Beliau berkata, pembangunan bercampur itu akan dibina di atas tanah seluas 256.4 hektar yang dimiliki FELDA.

“Segala proses kelulusan bagi projek ini diperoleh dan kami masih dalam perbincangan selanjutnya kerana projek itu dijangka dibangunkan untuk tempoh 10 tahun bermula 2017.

“Pembangunan di Bukit Katil ini membabitkan kediaman, bangunan komersial dan 3,800 unit rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Encorp dan FELDA di sini, semalam.

Memeterai bagi pihak FELDA ialah Ketua Pengarahnya, Datuk Hanapi Suhada, manakala ENCORP diwakili Pengerusi Jawatankuasa Eksekutifnya, Datuk Zakaria Nordin.

Mohd Isa berkata, pembangunan di Bukit Katil adalah usaha sama pertama antara FELDA dan Encorp dalam membangunkan tanah milik FELDA sekali gus menjadi pemain industri hartanah terkemuka.

Menurutnya, selain projek itu, kedua-dua pihak mengenal pasti beberapa tanah yang berpotensi dibangunkan menjadi bandar bersepadu, antaranya di Johor dan Selangor.

Beliau berkata, tanah di Johor yang dilihat berpotensi untuk dimajukan itu dianggarkan seluas 200 hektar dan Selangor pula seluas 28 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 6:40 AM