JOHOR BAHRU: Wanita dipercayai warga China ditemui lemas di pantai Stulang Laut, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mayat wanita ditemui terapung oleh orang awam pada kira-kira 7.30 pagi tadi sebelum menghubungi pihak polis.

"Pusat Kawalan Johor Baharu Selatan menerima satu panggilan telefon yang mengatakan ternampak satu objek menyerupai manusia terapung dalam air di tepi pantai Stulang Laut.

"Pemeriksaan kemudian mendapati ia adalah mayat wanita berumur lingkungan 50-an," katanya ketika dihubungi.

Sulaiman berkata, polis kini sedang mengenal pasti identiti wanita terbabit.

Katanya kematian wanita itu tidak berkait dengan sebarang unsur jenayah setakat ini dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 9:21 PM