Hanya perak mampu dihadiahkan skuad taekwondo negara pada hari terakhir acara berkenaan di Pusat Ekspo Singapura, malam tadi.

Cubaan Khir Amir Mohd Sulaiman untuk mènjelmakan emas pertama negara dalam acara taekwondo tidak berhasil apabila dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika bertemu atlet Thailand Peerathep Sila On.

Khir yang bertanding dalam kategori 74 kilogram, adalah atlet taekwondo terakhir yang diharap mampu memberikan emas ketika cubaan peserta lain semuanya menemui kegagalan.

Pada temasya kali ini, acara taekwondo hanya meraih dua perak dan selain yang dimenangi Khir, acara poomsae campuran turut menghadiahkan pingat serupa.

Jurulatih Moi Chee Keong berkata, impak tendangan yang dilepaskan atlet Thailand membuatkan kecederaan kaki kiri Khir bertambah buruk.

“Selepas terkena tendangan itu, dia (Khir) terjatuh dan kakinya sedikit terpusing mengakibatkan kecederaannya bertambah serius.

“Khir tetap cuba meneruskan perlawanan namun tidak berdaya untuk bangkit sekali gus membuatkan dia terpaksa menarik diri.

“Begitupun, dia masih muda dan saya yakin masa depannya cerah dan mampu menyinar ketika temasya dua tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 10:01 AM