Kuala Lumpur: Sebanyak RM348.46 juta dikutip melalui insentif diskaun bayaran balik pembiayaan 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam tempoh 10 Oktober 2014 hingga 31 Mac tahun ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata dalam tempoh itu, 39,239 peminjam dilaraskan akaun pembiayaannya diberi diskaun berkenaan kerana membuat penyelesaian pinjaman secara sekaligus.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pemberian diskaun kepada peminjam pula berjumlah RM87.12 juta.

“Dalam tempoh sama bagi insentif rebat 10 peratus pula, RM331.45 juta telah diterima daripada 119,954 peminjam melibatkan jumlah rebat sebanyak RM33.15 juta,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lim ingin tahu mengenai insentif diskaun dan langkah-langkah bagi mengecualikan peminjam PTPTN daripada membayar semula hutang PTPTN, statistik tahunan bagi kutipan pembayaran balik dan jumlah masih tertunggak semenjak 2010.

Muhyiddin berkata, sehingga 31 Mac 2015, sebanyak 1,716,475 peminjam perlu membayar balik pinjaman berjumlah RM13.32 bilion.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,110,790 atau 64.71 peratus peminjam mula membayar balik pinjaman dengan amaun kutipan RM6.24 bilion.

Katanya, bilangan peminjam yang masih gagal membuat bayaran balik ialah 605,685 peminjam membabitkan amaun tertunggak berjumlah RM4.70 bilion.

“Dalam tempoh yang sama, 84,308 peminjam disenarai hitam daripada meninggalkan negara melalui Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya bagi peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, mereka boleh memohon pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN dengan melengkapkan dokumen antaranya borang akuan penerima biaya; salinan ijazah atau setaraf dengannya serta salinan transkrip keputusan peperiksaan yang disahkan Bahagian Akademik Institut Pengajian Tinggi berkaitan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 6:35 PM