PESERTA maraton berlari melalui kawasan sawah padi.
PESERTA maraton berlari melalui kawasan sawah padi.
KUMPULAN gendang BN Buskers memeriahkan  Perlis  Marathon 2015.
KUMPULAN gendang BN Buskers memeriahkan Perlis Marathon 2015.
ISTANA Arau dilimpahi cahaya sempena Bulan Keputeraan Raja Perlis.
ISTANA Arau dilimpahi cahaya sempena Bulan Keputeraan Raja Perlis.
TUANKU Syed Sirajuddin menyampaikan replika cek kepada seorang pemenang maraton.
TUANKU Syed Sirajuddin menyampaikan replika cek kepada seorang pemenang maraton.
Oleh Roslan Ibrahim


Perlis Marathon dijang­ka menjadi tarikan terbaru negeri di utara tanah air itu untuk menarik pelancong di dalam dan luar negara.

Ini terbukti dengan Perlis Marathon 2015 yang menarik lebih 4,000 penyertaan walaupun sasaran awal hanya 3,000 penyertaan.

Ini sebahagian usaha bagi mempromosi Perlis dalam pasaran global selain mengangkat sukan pelancongan antara tumpuan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

Malah, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man nyata gembira dengan sambutan peserta di luar dugaan sekali gus optimis Perlis Marathon tahun depan akan menjadi kejohanan lebih baik berbanding tahun ini.

Beliau berkata, beberapa kelemahan kejohanan tahun ini akan diperbaiki selain melakukan ‘post mortem’ bagi memastikan sebarang kekurangan akan dapat ditangani dan Marathon Perlis akan menjadi acara tahunan utama dalam kalendar pelancongan negeri itu.

“Saya mengakui ada beberapa kelemahan, itu biasa kerana ini tahun pertama kami mengadakan kejohanan yang besar ini tapi insya-Allah kita akan mengkaji dan melakukan penambahbaikan supaya tahun depan formatnya lebih besar dan meriah.

“Bagaimanapun, dengan 4,000 penyertaan dari dalam dan luar negara, ia suatu kejayaan kepada kejohanan sulung yang kita adakan.

“Perlis Marathon tahun depan akan menyediakan wang tunai lebih besar dan jarak larian turut ditambah kepada 42 kilometer,” katanya.

Perlis Marathon 2015 menarik penyertaan 21 negara termasuk Kenya, China dan Singapura.

Perlis Marathon adalah selari dengan matlamat kerajaan negeri bagi menambah aktiviti berkaitan pelancongan sukan kerana ia bukan sekadar menyihatkan tubuh, tetapi memperkenalkan Perlis kepada pelancong luar.

Perlis mempunyai banyak destinasi menarik untuk pelancong seperti Taman Ular, Gua Kelam, Sungai Batu Pahat, Taman Herba, Kuala Perlis dan Padang Besar.

Selain itu, keenakan mangga harum manis yang menjadi sebutan di dalam dan luar negara memeriahkan lagi promosi pelanco­ngan di Perlis.

Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang jatuh pada 17 Mei setiap tahun turut meng­gamit kehadiran pelancong ke negeri itu.

Sepanjang sebulan hari keputeraan Tuanku Sirajuddin, pelbagai aktiviti diadakan membabitkan rakyat selain negeri itu bermandikan cahaya melalui program Kilauan Cahaya di Istana Arau.

Tahun ini, lebih 50,000 rakyat Perlis termasuk pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi Istana Arau sempena program Kilauan Cahaya untuk me­nyaksikan pelbagai aktiviti kebudayaan, galeri milik Tuanku Sirajuddin dan pertunjukan bunga api selama empat malam.

Walaupun dengan keluasan negeri yang kecil, Perlis menyediakan 1,001 aktiviti untuk pelancong sepanjang mereka berada di negeri itu.

Letih melihat sekitar bandar Kangar dan Arau atau Kuala Perlis, singgah sebentar untuk menikmati tumbuhan herba di Rimba Herba Perlis yang dibuka sejak 1999.

Kawasan seluas 12 hektar itu memiliki kira-kira 11,000 spesies tumbuhan herba untuk pelbagai kegunaan dalam perubatan dan kosmetik.

Pembantu Perhutanan Che Ramadiah Bakar mengakui taman itu umpama muzium tumbuhan hidup kerana orang ramai boleh melihat dan menimba ilmu melalui pelbagai tumbuhan herba di rimba itu.

Rimba Herba itu yang dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang hanya mengenakan bayaran masuk RM1 untuk dewasa dan 50 sen untuk kanak-kanak.

“Orang ramai boleh me­ngetahui pelbagai jenis spesies tumbuhan herba yang jarang mereka lihat malah boleh mendapat manfaat jika mahu menggunakan untuk tujuan perubatan.

“Rimba Herba ini turut menerima kunjungan pelancong dari Australia, New Zealand dan Itali yang kagum dengan pelbagai spesies tumbuhan herba yang jarang mereka lihat,” katanya.

Tempat menarik lain di Perlis:

1. Taman Ular

Taman Ular dan Reptilia Perlis satu-satunya taman ular seumpamanya di Malaysia. Taman itu memberi peluang pengunjung mendekati haiwan eksotik ini dengan lebih dekat.

Terdapat kira-kira 150 ular daripada 34 spesies di taman ini, 25 spesies ular tempatan dan sembilan spesies dari luar negara.

Sebanyak 10 spesies ular di taman ini jenis yang berbisa. Antara jenis ular di taman ini ialah ular sawa, tedung selar, tedung senduk, ekor merah, kapak bakau, rusuk kerbau dan katam termasuk katam tebu, katam payung serta punti.

Paling berbisa ialah ular tedung senduk sembur dan paling berat ialah ular sawa, 80 kilogram.

Pengunjung juga boleh melihat landak, memerang, biawak hutan termasuk biawak berekor dua, katak bertanduk, ijok, iguana dan tuntung.

2. Gua Kelam

Gua Kelam ialah antara gua paling menarik di Malaysia berukuran 370 meter berhampiran pekan Kaki Bukit. Gua ini dulu terkenal dengan lombong bijih dan menjadi jalan penghubung antara penduduk Wang Kelian dan Kaki Bukit.

Gua Kelam dinamakan sempena keadaannya di kaki bukit dan suasana kelam. Untuk merentasi dalam gua ini, pengunjung boleh menggunakan jambatan gantung.

3. Padang Besar

Padang Besar terletak di utara Perlis bersempadan dengan wilayah Songkhla, Thailand.

Kawasan itu popular dengan aktiviti membeli-belah sejak 1960 dan menyerlah budaya dua negara. Pelbagai barangan boleh didapati daripada tektil, fesyen, barangan kraf, makan, barangan kemas dan periuk.

Kebanyakan rakyat Malaysia gemar mengunju­ngi Kompleks Arked Niaga and Medan Gapura untuk membeli-belah.

4. Kuala Perlis

Ia bandar kedua terbesar di Perlis. Aktiviti utama di sini ialah industri perikanan dan banyak restoran makanan laut boleh ditemui di pekan kecil ini.

Bukan sekadar makanan laut yang segar tapi harga murah berbanding tempat lain.

Kuala Perlis juga menjadi tumpuan pelancong yang mahu menggunakan feri atau pengangkutan laut ke Langkawi.

5. Muzium Kota Dayang

Muzium Kota Kayang dekat dengan Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, Bukit Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang iaitu berhampiran terusan buatan manusia tertua di Semenanjung.

Muzium itu adalah kompleks sejarah yang popular di Perlis dan menawarkan pelbagai maklumat mengenai sejarah negeri itu.

Terdapat pameran tinggalan arkeologi dan sejarah dari kapak batu Neolithik, senjata, barangan tembaga, siling, replika dan carta keturunan diraja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 1:06 PM