DR Khairul Idzwan menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
DR Khairul Idzwan menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Serdang: Cell Tissue Technology Sdn Bhd (CTT), menyasarkan jualan RM1.5 juta menjelang 2016 menerusi pengenalan produk barunya, MyDerm dan Derm-Autologus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Khairul Idzwan Baharin berkata, produk terbabit hasil daripada teknologi terbaru berdasarkan kajiannya dijalankan sejak 2008 dan disasarkan untuk kegunaan dermatologi serta pakar perubatan estetik.

“Produk ini menerima maklum balas mengalakkan daripada pengguna dan berpotensi dipasarkan di peringkat antarabangsa, malah ia adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang dihasilkan daripada sel manusia serta darah pesakit yang dikulturkan. Rawatan seperti ini hanya boleh dilakukan pakar kulit, pakar bedah, serta doktor estetik yang diperakui.

“Sebanyak RM12 juta modal diterima untuk membangunkan projek ini sejak 2008, apabila RM8.5 juta daripada MTDC, manakala selebihnya datang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pembekal teknologi, dan pemegang saham,” katanya pada sidang media prapelancaran produk CTT di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Technology Corporation Sdn Bhd (MTDC), Datuk Norhalim Yunus dan Ketua Pegawai Teknologi CTT, Prof Datuk Dr Ruszymah Idrus.

Khairul berkata, sebagai syarikat kejuteraan tisu yang pertama di Malaysia, pihaknya turut bekerjasama dengan Dr Richard Ng daripada Reborn Medical Technology (RMT), penaung utama pengedaran di Malaysia, serta melalui Dr Choi Min Seok, orang di belakang sel stem terkemuka di Korea bagi memasarkan produk terbabit.

Menurutnya, CTT telah menubuhkan makmal berpiawaian tinggi, dilengkapi dengan tiga bilik bersih, yang mampu menampung 24 keping kulit dengan saiz 100 sentimeter persegi sebulan untuk menghasilkan produk My-Derm dan 72 produk tiub Derm-Autologous.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:29 AM