Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
[email protected].

Musim banjir sudah tiba. Sejak awal Oktober lalu beberapa daerah di Selangor, pantai barat Sabah, Kelantan dan Kedah dinaiki air akibat hujan lebat berterusan.

Ini menggesa pihak berkuasa memindahkan penduduk ke pusat penempatan sementara mangsa banjir.

Bagi masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko, banyak persediaan perlu dibuat apabila musim tengkujuh.

Perkara utama, pastikan penjagaan kesihatan diri dan keluarga, bekalan ubat serta risiko jangkitan sepanjang tempoh bencana alam berlaku.

Ibu hamil, pastikan membawa kelengkapan diri dan bayi perlu disiapkan sebelum tiba musim tengkujuh.

Pastikan sekurang-kurangnya rekod pemeriksaan altenatal, kad pengenalan ibu, stokin, kain batik, baju tebal, pad bersalin, pakaian bayi, lampin pakai buang, sarung tangan dan kaki bayi serta selimut diletak dalam satu beg.

Simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.

Selain ibu mengandung, pesakit kronik perlu peka dengan persekitaran ketika musim tengkujuh.

Kelompok ini berdepan gangguan jadual rawatan dan memerlukan pemantauan dan bekalan ubat mencukupi.

Jika anda perlu menjalani rawatan berkala seperti hemodialisis atau bergantung kepada suntikan insulin, hubungi pegawai kesihatan bertugas untuk bantuan.

Situasi sebegini memerlukan kerjasama pesakit dan keluarga supaya tidak wujud masalah ketika situasi banjir memburuk.

Perlu diingatkan risiko penyakit tidak pernah mengenal mangsanya.

Asalkan anda berdepan masalah banjir, hujan lebat tanpa henti dan dipindah ke pusat penempatan, semua ini mendatangkan risiko jangkitan penyakit.

Jangkitan bawaan air paling kerap berlaku semasa dan selepas musim banjir.

Ini kerana air banjir mengandungi banyak jenis kuman, virus, bakteria, fungus dan parasit akibat bercampur dengan sisa kumbahan.

Serpihan berbahaya itu boleh mendatangkan kecederaan serius apalagi disebabkan kaca, paku, besi dan kayu yang hanyut ketika banjir.

Oleh itu, pastikan ahli keluarga anda tidak terdedah kepada sebarang risiko sepanjang musim banjir.

Sentiasa pantau perlakuan anak kecil, wanita mengandung, pesakit kronik dan warga tua ketika dilanda bencana banjir.

Bagi mengelak jangkitan penyakit kronik, orang ramai yang berisiko harus mengutamakan kebersihan.

Amalkan tabiat mencuci tangan sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan serta selepas ke tandas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:00 AM