MAYAT mangsa dipercayai individu yang terjatuh di Sungai Klang. FOTO ihsan Bomba
MAYAT mangsa dipercayai individu yang terjatuh di Sungai Klang. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Mayat wanita berusia 20-an ditemui di bawah jambatan Brickfields, di sini, 12.30 tengah hari tadi dipercayai individu yang terjatuh di Sungai Klang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mayat wanita terbabit dijumpai pasukan mencari dan menyelamat dan akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk proses pengecaman mayat dan bedah siasat.

"Mayat wanita itu ditemui selepas pasukan mencari dan menyelamat memulakan pencarian mereka pagi tadi selepas insiden dua wanita terjatuh di Sungai Klang, petang semalam dilaporkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, operasi mengesan seorang lagi wanita yang dikhuatiri lemas giat dijalankan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mangsa mungkin dihanyutkan.

Semalam, dua wanita dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjatuh di Sungai Klang berhampiran Little India, Jalan Tun Sambathan di sini apabila mereka didakwa dikejar dua penunggang motosikal, bagaimanapun dalam kejadian itu tiga rakan mangsa terselamat.

Berita berkaitan

Dua wanita Indonesia dikhuatiri lemas: http://www.hmetro.com.my/node/53127

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 3:28 PM