FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Oleh Abd Rahman Adam


Serian: seorang wanita warga emas maut apabila van dinaiki bersama lima penumpang lain termasuk pemandu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 10, Kampung Bunan Gega, di sini, kira-kira 7 pagi tadi.

Dayu Kalam, 72, yang tercampak keluar dari van disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala lima penumpang lain cedera. Difahamkan, van dipandu Thomas Saweng, 68, dalam perjalanan dari Kampung Mapuk ke Pasar Serian dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serian, Muhd Mirza Dzalmira Miraj berkata, jentera bersama sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 7.37 pagi. Katanya, wanita warga emas terbabit disahkan meninggal dunia oleh paramedik di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

"Bomba menyelamatkan mangsa yang cedera naik ke darat sebelum diserahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 12:37 PM