TAMPIL kelainan dengan hanya dua pelakon saja.
TAMPIL kelainan dengan hanya dua pelakon saja.

Selama empat hari, penuntut Universiti Malaya, Kuala Lumpur disajikan teater menarik menerusi pementasan Skrip Untuk Ali yang berlangsung di Black Box, Kompleks Perdanasiswa pada 7 hingga 10 Mei lalu.

Teater arahan Annazerul ini berkonsepkan eksperimental yang mengangkat kisah seorang hamba seni bernama Khalifah.

Kelainannya, ia hanya menampilkan dua pelakon iaitu Zulhusni Zamir dan Amira Saberi dan mereka perlu membawa 12 watak berbeza.

Rekaan set pentas utama berkonsepkan ‘sangkar’ sudah cukup untuk menterjemahkan kehendak pengarah yang menekankan konsep minimalis dalam persembahannya.

Selain itu, minimalis tetap diperlihatkan menerusi sinografi persembahan. Teater ini bertujuan memberi kelainan kepada penonton dari pelbagai segi terutamanya dalam prinsip lakonan dan pementasan.

Naskhahnya berkisar mengenai perjuangan Ali yang memiliki minat mendalam terhadap bidang seni persembahan. Hidupnya diabadikan untuk menjadi hamba kepada minatnya sendiri.

Dua pelakon yang terbabit dalam Skrip Untuk Ali berjaya memberikan lakonan meyakinkan dan fokus mendalam mereka terhadap watak jelas kelihatan.

Menerusi pendekatan intim ini, mesej dan nilai-nilai murni dapat disampaikan dengan sempurna kepada penonton.

Plotnya memperlihatkan elemen kemanusiaan, kasih sayang, kekeluargaan, mistik dan banyak lagi digarap sehingga membentuk sebuah cerita yang memberi signifikan kepada semua yang menceburkan diri dalam bidang seni.

Annazerul berkata, dia mengakui dirinya masih baru dan sedang belajar untuk berkarya. Justeru, dia mengambil keputusan mengetengahkan karya yang mempunyai pelbagai rasa dengan kemampuan yang minimal.

“Skrip Untuk Ali ini sememangnya mencabar buat saya. Syukur kerana per­sembahan dengan kerjasama ramai pihak ini berlangsung dengan baik. Terima kasih terutamanya kepada dua pelakon yang berjaya menggerakkan karya ini dengan baik, bijak dan bersahaja.

“Besar harapan saya agar penonton yang hadir dapat menikmati jalan cerita dan rasa beserta mesej yang ingin diketengahkan melalui karya kecil Skrip untuk Ali ini.

“Namun, saya menyedari dalam proses mempelajari sesuatu, banyak lagi perkara boleh diperbaiki,” katanya.

Pementasan ini turut dijayakan dengan kerjasama Tresenergy Sdn Bhd, Pertubuhan Pentas Seni Lakon Universiti Malaya (PELAKON), MyGenggua dan pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat.

Skrip Untuk Ali diterbitkan Anomalist Production yang pada awalnya sebuah Kelab Pengurusan Seni di bawah Pusat Kebudayaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 10:57 AM