SETIAP individu perlukan tidur tujuh hingga lapan jam sehari.
SETIAP individu perlukan tidur tujuh hingga lapan jam sehari.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tidur yang mencukupi pasti membuat seseorang itu lebih segar, sekali gus meredakan tekanan perasaan sama ada akibat masalah di tempat kerja mahupun peribadi.

Setiap individu dewasa memerlukan tidur sekitar tujuh hingga lapan jam sehari bagi memberikan masa kepada semua otot badan dan minda yang terlalu banyak berfungsi untuk berehat.

Disebabkan itu, tidur yang mencukupi ini juga tidak hanya baik untuk kesihatan, malah menyerlahkan kecantikan secara semula jadi.

Berikut antara kelebihan tidur malam mencukupi:

1. Meningkatkan memori

Tidur mampu meningkatkan pemikiran dan memori dengan adanya rehat yang mencukupi. Setiap individu memerlukan waktu tidur yang teratur dan cukup dalam sehari bagi memastikan daya ingatan terus kuat dan tidak cepat lupa.

2. Memiliki berat badan ideal

Jika anda berfikir mengenai diet menurunkan berat badan, perkara yang tidak boleh dipandang ringan adalah waktu tidur. Ini kerana waktu tidur juga mempengaruhi bentuk badan seseorang.

Kajian di Universiti Chicago menunjukkan individu yang mendapat tidur mencukupi lebih mudah untuk menurunkan berat badan berbanding individu yang tidur secara tidak teratur.

3. Kurang tekanan

Tekanan yang tidak dikawal dengan baik menyebabkan seseorang itu berisiko menghidap penyakit jantung.

Dengan tidur yang mencukupi, tekanan dirasakan sedikit sebanyak dapat dikurangkan, sekali gus mengurangkan risiko sesetengah jenis penyakit.

4.Menghindari kecelakaan atau kemalangan

Tidur yang tidak teratur atau kurang tidur juga mengakibatkan seseorang itu mungkin terganggu tumpuannya sama ada ketika di tempat kerja mahupun ketika memandu.

Tidur yang tidak mencukupi boleh mengakibatkan seseorang itu mudah berasa penat manakala tumpuan sering terganggu yang akhirnya mengundang risiko kemalangan di tempat kerja mahupun di jalan raya.

5. Hidup sentiasa gembira dan tenang

Hakikatnya, seseorang yang memiliki tidur yang cukup akan kelihatan sentiasa segar dan gembira tanpa kemurungan.

Tidur yang cukup dalam tempoh tujuh hingga lapan jam sehari juga membuatkan individu itu berasa riang dan terhindar daripada kemurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:03 AM