FEDERER atasi Cuevas dua kali bulan ini.
FEDERER atasi Cuevas dua kali bulan ini.
AFP

Rome: Roger Federer mengalahkan pemain Uruguay, Pablo Cuevas buat kali kedua bulan ini ketika legenda Switzerland itu memulakan kempen di Terbuka Itali dengan catatan kemenangan 7-6 (7/3), 6-4.

Kejayaan pusingan kedua dalam tempoh 80 minit itu hadir selepas seminggu Federer mengalahkan Cuevas di final Terbuka Turki di Istanbul.

Federer diuji sepenuhnya Cuevas yang menduduki ranking ke-24 dunia dan pemain pilihan kedua berusia 33 tahun itu melepasi set pertama menerusi tie-break.

Tempoh rehat seketika pada kedudukan 3-2 di set kedua memberikan Federer peluang mendahului hingga tamat perlawanan.

“Saya tahu saya bukanlah pemain pilihan seperti tahun-tahun sebelum ini tetapi saya tidak peduli,” kata Federer.

“Tumpuan hanyalah untuk melepasi halangan ini dan saya gembira kerana menang. Saya tewas di Madrid (di tangan Nick Kyrgios) dan di sini, tahun lalu saya juga sedikit bergelut.

“Justeru, saya sangat gembira dapat melangkah ke pusingan seterusnya. Memang seronok apabila menang malam ini.”

Sementara itu, Andy Murray mengesahkan penguasaan di gelanggang tanah liat apabila mengalahkan Jeremy Chardy 6-4, 6-3 sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah di gelanggang itu musim ini.

Murray mencatat 10 kemenangan dalam 10 perlawanan selepas menewaskan Rafael Nadal di final Terbuka Madrid minggu lalu.

Murray yang mencecah usia 28 tahun hari ini, mengalahkan Chardy dalam tempoh 84 minit.

“Kaki saya agak letih pada mulanya tetapi ia semakin beransur lega selepas beberapa perlawanan,” kata Murray. “Saya mengharungi perlawanan ini dengan baik.

“Dia (Chardy) memiliki servis hebat tapi selepas dapat bertahan, saya tidak beri banyak peluang manakala servis saya juga agak menjadi.

“Saya gembira dapat menyesuaikan diri dengan perlawanan ini. Saya menyukarkannya dan tidak memberi peluang memperoleh mata mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:37 AM