AFP

Madrid: Barcelona hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk memastikan kejuaraan La Liga Sepanyol ke-23 selepas Cristiano Ronaldo terlepas sepakan penalti ketika Real Madrid seri 2-2 di laman sendiri dengan Valencia, awal pagi semalam.

Pendahulu liga itu empat mata di depan ketika berbaki dua perlawanan selepas sebelumnya menang 2-0 ke atas Real Sociedad kendalian David Moyes berikutan gol Neymar dan Pedro Rodriguez.

Barcelona kini boleh memastikan kemenangan apabila mereka bertandang ke kelab juara bertahan Atletico Madrid hujung minggu ini sekiranya mogok dalam kalangan pemain dibatalkan.

Gol babak pertama Paco Alcacer dan Javi Fuego membantu Valencia mendahului selesa sebelum rehat.

Sekalipun penjaga gol Diego Alves menafikan Ronaldo dari sepakan penalti sejurus sebelum rehat, Madrid bangkit pada babak kedua untuk berkongsi mata menerusi gol Pepe dan Isco.

“Masih ada dua perlawanan, kami mesti memenanginya, tapi jelas ia lebih sukar (untuk memenangi liga),” akui bos Madrid, Carlo Ancelotti.

Di Nou Camp, Pedro menjaringkan gol sepakan gunting menakjubkan apabila Barcelona merakam kemenangan ke-28 dalam 30 perlawanan sejak ditundukkan Sociedad, Januari lalu.

“Kami melakukan segala-galanya untuk menjaringkan gol dan akhirnya gol hadir jua,” kata Neymar, yang menyumbat gol ke-50 buat kelab Catalunya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:40 AM