BAWA watak pelajar sekolah menengah dalam filem Suami Aku Ustaz.
BAWA watak pelajar sekolah menengah dalam filem Suami Aku Ustaz.
Oleh Ardini Sophia Sina


Tidak hanya aktif menyanyi, Izzue Islam yang berpegang pada prinsip membataskan sentuhan terhadap pelakon wanita terus mendapat tawaran berlakon, sama ada filem atau drama.

Anggota kumpulan Forteen ini bakal muncul menerusi filem Suami Aku Ustaz arahan Ghaz Abu Bakar pada 14 Mei ini yang turut dijayakan Nora Danish dan Adi Putra.

Wataknya sebagai Johan tidak terlalu menyerlah tetapi Izzue akui tertarik dengan naskhah itu kerana ia berlainan dengan karakter yang pernah dilakonkannya.

Jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berkata, walaupun memegang watak pelajar sekolah, ia memberi cabaran tersendiri buat dirinya.

“Watak kali ini sangat berbeza dengan karakter yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Saya pernah bawa watak ahli korporat, suami orang, pelajar universiti dan orang kampung.

“Kali ini saya diberi kepercayaan membawa watak pelajar sekolah menengah. Susah juga kerana sudah lama meninggalkan zaman persekolahan tetapi bekerja de­ngan pengarah dan pelakon lain membuatkan lebih mudah untuk melakonkan watak itu,” katanya.

Tambah Izzue, ini juga kali keempat dia bekerja dengan Ghaz dan tiada masalah kerana tahu apa yang dia inginkan.

Suami Aku Ustaz mengisahkan Johan mencintai Alissa dan perasaan itu bukan sekadar cinta monyet. Karakter itu benar-benar ikhlas de­ngan Alissa.

Dianugerahkan wajah keanak-anakan, Izzue tidak kisah andai terus diberi watak pelajar sekolah. Baginya, karakter dalam setiap karya itu tidak mempunyai had umur dan sebagai pelakon dia tidak mahu terlalu memilih.

“Saya tidak kisah bawa watak remaja belasan tahun. Saya juga tidak meletakkan syarat terhadap umur karakter yang bakal saya lakonkan.

“Setiap watak itu berbeza dan mempunyai kelebihan serta mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan kepada penonton.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dikurniakan rupa paras menepati cita rasa penonton dan karakter itu sendiri. Ia memudahkan saya memegang watak muda dan tua,” katanya yang pernah berlakon filem Hantu Kapcai.

Mengenai kenyataannya hujung tahun lalu mengatakan mula membataskan sentuhan terhadap pelakon wanita dan memberi syarat tidak melakukan babak romantik, Izzue mengatakan tidak tahu isi kandungan artikel disiarkan hingga terkejut apabila ada yang berta­nya hal itu.

Kata Izzue, dia hanya tahu isu itu apabila ada yang bertanya dan akui tidak lagi bersalaman dengan wanita dan mengehadkan sentuhan dalam lakonan. Begitu juga isteri­nya, Awin kini tidak lagi bersalaman dengan lelaki.

“Perkara ini atas persetujuan dan perbincangan kami. Mungkin kami semakin matang dan mengambil keputusan seperti itu. Ia bukan hanya untuk kebaikan kami, tetapi juga orang di sekeliling.

“Apa pun, kalau selepas ini ada yang melihat saya bersalaman de­ngan wanita, orang lain tidak boleh terus menghukum. Mungkin itu sepupu atau ibu saudara saya.

“Sebenarnya perkara ini tidak perlu dijadikan isu mahupun diuar-uarkan. Itu adalah privasi kami,” katanya.

Mengenai anggapan peminat mengatakan mereka mungkin menjalani kehidupan lebih Islamik, tegas Izzue, itu hak individu tetapi tidak menyalahkan sesiapa apabila perkara itu dijadikan isu.

“Apa yang boleh saya katakan, itu hak masing-masing. Ada yang pakai tudung tapi masih bersalaman dengan lelaki dan sebaliknya. Namun, saya tidak mahu salahkan sesiapa yang membesar-besarkan perkara ini.

“Cuma kalau boleh, saya mohon semua orang menghormati kehidupan peribadi saya dan isteri. Setakat ini apa yang berlaku di sekeliling, sama ada komen negatif atau positif, saya terima dengan hati terbuka. Belum ada lagi cerita yang menjatuh­kan nama saya,” katanya.

Mengenai prinsipnya membataskan sentuhan mungkin turut menyekat lakonan mereka, bagi Izzue, walaupun mengamalkan cara hidup begitu, dia masih menerima tawaran berlakon.

Katanya, dari dulu lagi dia tidak memilih watak. Namun, dia akan menjelaskan kepada pengarah mahu pun produser mengenai keterbasatannya dalam lakonan. Andai dapat diterima, apa saja karakter tidak mempunyai masalah buat dirinya.

“Saya tidak memilih watak, cuma ada had, tidak ada sentuhan. Ia untuk kebaikan bersama dan kesejahteraan dalam rumah tangga. Ia juga langkah menjaga adat dan adab antara lelaki dan perempuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 12:24 PM