Subang: MCAT Box Office Sdn Bhd (MBO), rantaian pawagam kedua terbesar di Malaysia bakal memperluaskan perniagaannya menerusi pembukaan dua hingga tiga projek pembangunan panggung wayang di seluruh negara dalam masa dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Eng Hee berkata, projek terbabit membabitkan pembangunan antara 70 hingga 80 skrin di lebih 7 negeri di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2018.

“Sehingga kini, kami mempunyai 183 skrin di 25 lokasi berbeza dan akan menambah jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan 191 skrin di 126 tempat.

“Satu lagi cawangan MBO di Central Square-Sungai Petani akan dibuka kepada orang ramai menjelang suku ketiga 2015 (Julai) di mana unit baru itu membabitkan lapan skrin panggung wayang,” katanya, semalam.

Katanya, pihak pengurusan memperuntukkan kira-kira RM1.5 juta hingga RM1.8 juta untuk melengkap persekitaran setiap dewan mahupun pawagam.

Beliau berkata, beberapa cawangan di pusat beli-belah seperti Brem Mall, Viva Home, Klang, Taiping dan Alor Star sedang dalam rangka untuk memulakan proses pengubahsuaian bagi menaik taraf sistem operasi agar dapat memberikan perkhidmatan bertaraf lima bintang kepada pelanggannya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Jualan MBO, Cheah Chun Wai berkata, syarikat terbabit menyasarkan pertumbuhan jualan tiket sebanyak 19 peratus bernilai RM12 juta berbanding RM10.5 juta bagi tahun 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:05 AM