U CHEN (dari dua kiri) bersama Lim (dua dari kanan) pada majlis pelancaran ‘Easy-MBO Watch and Win Contest.
U CHEN (dari dua kiri) bersama Lim (dua dari kanan) pada majlis pelancaran ‘Easy-MBO Watch and Win Contest.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman


Subang: RHB Banking Group (RHB) menyasarkan pertumbuhan perolehan sebanyak 15 peratus menjelang akhir tahun ini bersandarkan pada kempen ‘Easy- MBO Watch and Win Contest’ hasil kerjasama dengan MCAT Box Office Sdn Bhd (MBO).

Pengarah Eksekutif Perbankan Runcitnya, U Chen Hock berkata, kempen itu bertujuan memberi kemudahan dan ganjaran kepada pemegang Kad Debit Easy yang mana setiap pembelian tiket wayang pada hari Jumaat akan memperoleh satu lagi tiket secara percuma.

“Kempen 1-untuk-1 tiket wayang itu bermula 1 Mei 2015 hingga 30 April 2016. Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi Honda HRV 1.8L S apabila menyertai pertandingan yang bermula awal bulan lalu hingga 31 Ogos 2015 depan.

“Sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada April lalu, kami mendapati orang ramai lebih berhati-hati dalam membelanjakan wang mereka, termasuk membeli tiket wayang. Jadi inisiatif ini mampu meringankan beban orang ramai terutamanya pemegang kad serta pelajar,” katanya pada majlis pelancaran ‘Easy-MBO Watch and Win Contest’, semalam.

Beliau berkata, Kad Debit Easy dilancarkan pada 2009 bermatlamat untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang mudah serta pantas kepada pelanggan.

Tambahnya, kempen tersebut juga sejajar dengan misi memperluaskan perkongsian organisasi bersama syarikat lain di seluruh negara.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 600,000 pemegang kad di seluruh negara dan beliau yakin kempen terbabit akan memberi impak positif kepada operasi perbankan RHB.

Mengulas mengenai sistem perbankan bagi tahun 2015, U Chen berkata, suku pertama memperlihatkan beberapa cabaran yang perlu ditangani secara berhemah dan berharap suku kedua tahun ini bakal menunjukkan prestasi yang lebih memberansangkan.

Katanya, melalui segmen peruncitan, syarikatnya bakal memperkuatkan strategi daripada aspek peningkatan kecekapan selain perlu mengurangkan kos operasi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksektif MBO, Lim Eng Hee.

Menurut Lim, terdapat dua langkah mudah untuk memperoleh mata iaitu berbelanja sejumlah RM20 bagi mendapatkan lima mata sebagai peluang memenangi Honda HRV.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 7:55 AM