ANA Salwa kini gembira bergelar peladang wanita walaupun mendapat pendidikan dari luar negara.
ANA Salwa kini gembira bergelar peladang wanita walaupun mendapat pendidikan dari luar negara.
ANA Salwa membantu pekerjanya membajak tanah.
ANA Salwa membantu pekerjanya membajak tanah.
PEGAWAI daripada Jabatan Pertanian sering melawat dan memberi nasihat kepada Ana Salwa.
PEGAWAI daripada Jabatan Pertanian sering melawat dan memberi nasihat kepada Ana Salwa.
Oleh Mohamad Hussin


“Saya pernah kecewa dan hampir berputus asa kerana mengalami kerugian hampir RM100,000 selepas hasil tanaman sayuran rosak selepas mengalami kemarau pada tahun lalu.

“Namun saya bangkit semula dan mengganggap semua itu adalah asam garam yang perlu ditempuhi untuk berjaya,” kata siswazah Universiti Perth, Australia, Ana Salwa Hanafi, 40, yang berkecimpung dalam bidang pertanian dengan menghasilkan tanaman sayuran seperti sawi, kangkung dan bayam.

Ibu kepada empat anak itu berkata, setiap musibah pasti ada hikmahnya dan selepas itu dia mula mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Daerah Padang Terap, Kedah.

Beliau dinasihatkan supaya menanam secara sistem pusingan tanaman yang boleh mencegah daripada pelbagai penyakit.

“Sejak itu, saya banyak mengikuti pelbagai kursus yang dianjurkan Jabatan Pertanian dan kini berusaha mendapat Sijil Amalan Pertanian Baik (My Gap) yang dipantau jabatan itu mengenai teknik keracunan dan kebersihan.

“Hasil pertanian juga turut dibawa ke makmal untuk ujian kadar penggunaan racun yang dibolehkan supaya tidak menjejaskan kesihatan orang ramai.

“Apabila sudah mendapat sijil itu, ia memudahkan hasil tanaman saya memasuki pasaran seperti dijual di pasar raya dan pasar awam.

“Orang ramai tidak perlu lagi ragu-ragu berkenaan teknik tanaman yang saya amalkan selama ini kerana ia dijamin bersih dan berkualiti,” katanya yang ditemui di ladangnya di Kampung Bendang Raja, Kuala Nerang, Kedah, baru-baru ini.

Menceritakan awal pembabitannya dalam bidang pertanian, Ana Salwa berkata, pada mulanya dia mempunyai dua hektar tanah dengan menanam sayur sawi, kangkung dan bayam yang dilakukan secara usaha sama dengan rakan bapanya.

“Bermula dari situ saya mula mempelajari teknik tanaman hingga ke peringkat meracun dan memasarkannya sendiri. Ini kerana saya mahu belajar dari awal penanaman hingga dijual di pasaran.

“Saya banyak belajar dengan rakan bapa saya itu kerana dia mempunyai semangat bekerja yang tinggi dan bersungguh-sungguh dalam bidang pertanian ini hingga mendidik saya mencapai kejayaan seperti hari ini.

“Selepas dia pulang ke Thailand, saya mengusahakannya seorang diri dengan dibantu beberapa pekerja. Ketika itulah saya menghadapi pelbagai rintangan sebagai peladang kerana terpaksa memasarkan hasil tanaman sendiri,” katanya.

Menurutnya, ketika membabitkan diri secara perseorangan, pada awalnya dia hanya mampu mengeluarkan sayur dari ladangnya kira-kira 400 hingga 500 kilogram (kg) sehari, tetapi dengan ke­sungguhannya, pada hari ini dia sudah mampu mengeluarkannya daripada 800kg hingga 1.5 tan sehari membabitkan pelbagai jenis sayur-sayuran.

“Pengeluaran dan permintaan yang semakin bertambah itu memberi semangat kepada saya untuk membesarkan lagi ladang .

“Buat masa ini, saya mempunyai keluasan ladang membabitkan 11 hektar dan bercadang membuka ladang hingga 15 hektar pada masa akan datang,” katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang pertanian itu, pelbagai pengalaman pahit dan manis ditempuhi antaranya pernah ditahan anggota polis yang terkejut melihat seorang wanita membawa lori yang sarat dengan sayur-sayuran untuk dijual.

“Sebagai wanita saya tidak takut membabitkan diri dalam perniagaan ini walaupun terpaksa berada di tengah panas dan hujan kerana ia mampu memberi pulangan yang lumayan dan kepuasan kepada diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 2:01 PM