Proton Exora yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca.
Proton Exora yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Bayi perempuan sembilan bulan maut selepas tercampak dari Proton Exora dipandu bapanya yang terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 22, Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Senai, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa yang dipangku ibunya di bahagian tempat duduk penumpang depan tercampak keluar selepas kenderaan itu berlanggar dengan treler dan motosikal.

Ibu dan bapa bayi itu cedera.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Superintendan Razak Md Said berkata, siasatan awal mendapati pemandu Proton Exora gagal mengawal kenderaan sehingga masuk ke lorong kiri dan melanggar bahagian belakang treler.

"Akibat pelanggaran, kenderaan itu terbabas dan terbalik beberapa kali sebelum sebuah motosikal yang cuba mengelak melanggar kedua-dua kenderaan berkenaan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 1:58 PM