AFP

Riyadh: Pemimpin Arab Saudi, Raja Salman semalam melantik Menteri Dalam Negerinya sebagai pewaris serta menamakan salah seorang anaknya sebagai Timbalan Putera Mahkota.

Berikutan perintah itu, Putera Mahkota Moqren Abdul Aziz Saud, 69, digugurkan daripada jawatan itu dan digantikan dengan Putera Mohammed Nayef, 55, yang mencipta nama selepas berjaya menghapuskan pemberontakan Al-Qaeda hampir 10 tahun lalu.

Jawatan menteri luar negara turut dirombak dalam penyusunan semula kerajaan buat kali kedua sejak Raja Salman mewarisi takhta pada Januari lalu.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Arab Saudi menahan 93 pejuang jihad yang majoritinya dikaitkan dengan Negara Islam (IS) sejak akhir 2014, seterusnya menggagalkan beberapa rancangan melancarkan serangan di negara itu.

Sementara itu, Salman, 79, melantik anak lelakinya Mohammed - yang juga Menteri Pertahanan - sebagai Timbalan Putera Mahkota.

Selain itu, duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS), Adel al-Jubeir, 52, pula dilantik Menteri Luar menggantikan Putera Saud al-Faisal yang ‘meminta dilepaskan daripada tugasnya atas sebab kesihatan.’

Saud memegang jawatan itu sejak 1975, menjadikannya Menteri Luar paling lama berkhidmat di dunia.

Ini seterusnya bererti penyingkiran seorang daripada pegawai tinggi dari era Raja Abdullah yang mangkat pada 23 Januari lalu.

Ia kali pertama seorang putera mahkota dilepaskan daripada tanggungjawabnya dalam sejarah negara itu.

Penyingkirannya menjadikan Mohammed Nayef orang pertama dari generasi kedua iaitu cucu pengasas kerajaan berkenaan Abdul Aziz Saud yang mungkin mewarisi takhta negara itu kelak.

Menurut dekri berkenaan, Mohammed Salman dinamakan timbalan putera mahkota selepas membuktikan dia mempunyai ‘keupayaan hebat’.

Rombakan itu juga menyingkirkannya daripada satu kedudukan utama iaitu ketua mahkamah diraja yang disifatkan sumber diplomatik sebagai langkah pragmatik.

Ketua eksekutif syarikat minyak Saudi Aramco Khalid al-Falih dilantik Menteri Kesihatan, manakala Menteri Buruh Arab Saudi, Adel Fakieh ditugaskan ke jabatan ekonomi dan perancangan sesuai rancangan kerajaan bertujuan mempelbagaikan ekonomi berasaskan minyak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 10:20 AM