Kandahar: Seorang pemangku ketua polis di wilayah selatan Afghanistan ditembak mati oleh orang bawahannya, sebulan selepas ketua polis sebelumnya juga mati dibunuh.

Kematian ketua polis wilayah Urugzan itu, yang kedua mati dibunuh dalam masa enam minggu depercayai akibat serangan orang dalam.

Tidak pasti apa yang medorong anggota bawahannya itu menembaknya.

“Pemangku ketua polis Gulab Khan ditembak mati rakan setugasnya ketika berbincang dengan seorang rakan. Rakannya juga mati dalam kejadian itu,” kata gabenor wilayah Amanullah Timori.

Penyerang terbabit, anggota bahagian siasatan jenayah, berjaya ditahan dan siasatan terhadap kejadian itu sudah dilancarkan.

Gulab Khan memangku jawatan ketua polis sejak ketuanya, Matiullah Khan dibunuh dalam serangan berani mati ketika melawat Kabul pertengahan bulan lalu.

Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang membunuh Matiullah.

Jurucakap Taliban Qari Yousef Ahmadi enggan mengulas pembunuhan Gulab dengan berkata, dia masih mengumpulkan maklumat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:03 AM