Kuala Lumpur: Khatam al-Quran sewal usia lima tahun adalah antara faktor kejayaan qari Wan Ainudin Hilmi Abdullah, 32, sehingga ke peringkat kebangsaan.

Imam Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya, mewakili Kelantan itu adalah peserta ketiga yang memperdengarkan bacaan surah Saba’ ayat 36 pada hari keempat Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58 di Dewan Muktamar, Pusat Islam, di sini, malam tadi.

“Ia adalah hasil didikan bapa saya yang menggalakkan saya dan adik-beradik belajar mengaji Al-Quran sejak masih kecil,” katanya selepas selesai memperdengarkan bacaan beliau.

Bagi qariah termuda pada malam ini, Nurul Husnaa Sharif, 21, yang mewakili Kedah dan memperdengarkan surah Al-Anfal ayat ke-20 berkata, beliau cuma berlatih pada masa yang singkat sebelum ke pertandingan itu.

“Saya tidak meletakkan apa-apa harapan untuk sampai ke peringkat antarabangsa dan gembira dapat bertemu dengan peserta-peserta lain di pertandingan ini,” katanya.

Selain itu, antara qari dan qariah yang turut memperdengarkan bacaan ialah Azraei Abdul Hak (Melaka), Sanayah Janaid (Sabah), Mohamad Husaini Mahmur (Negeri Sembilan), Suhailah Zulkifly (Melaka) dan Mohd Syaheed Sabri (Pahang).

Sementara itu, seorang Jemaah Hakim, Datuk Sha’ri @ Shangari Abdullah berkata pemilihan pemenang dikira berdasarkan empat bidang iaitu Tajwid (40 peratus), Taranum (25 peratus), Fasahah (20 peratus) dan Suara (15 peratus).

“Kesemua bidang ini perlu mempunyai ‘lajah’ Arab (dialek bahasa Arab) kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab,” katanya.

Majlis Tilawah Al-Quran bertemakan Perpaduan Nadi Transformasi Negara itu berlangsung selama enam hari bermula Isnin lepas, menghimpunkan seramai 28 peserta merangkumi 14 qari dan 14 qariah dari setiap negeri.

Johan qari dan qariah peringkat kebangsaan akan mewakili Malaysia ke Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa dari 9 hingga 14 Jun depan, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 12:02 AM