Agensi

London: Bintang tengah Manchester City, Yaya Toure mengesahkan dia sedia berdepan ‘cabaran baru’ dan tidak akan kekal di kelab itu hanya untuk menerima wang gaji.

Laporan minggu lalu menyebut Toure mungkin menjadi sebahagian daripada rombakan besar-besaran di Stadium Etihad pada musim panas ini ketika kelab itu berusaha membentuk semula skuad selepas musim yang hambar.

Ia dinafikan pengurus Manuel Pellegrini, yang menegaskan Toure akan “terus bermain di sini kerana dia seorang pemain yang amat penting.”

Namun Pellegrini turut mengakui persembahan Toure musim ini mengecewakan dan spekulasi mengaitkan pemain kebangsaan Ivory Coast itu berpindah ke kelab lain tidak ditolak bulat-bulat.

Kini pemain berusia 31 tahun itu mengesahkan dia mungkin berpindah.

Toure, yang dilaporkan pemain dengan pendapatan tertinggi City £220,000 (RM1.2 juta) seminggu, memberitahu laman web perpindahan Foot Mercato: “Tiada jumlah gaji akan membuatkan saya kekal di sesebuah kelab jika tidak lagi berasa menjadi milik mereka atau tiada cabaran lagi buat saya.

“Ia tidak adil bagi saya. Ada masanya angka tidak menghalang kita, ia melampaui semua itu, sekalipun jika media Inggeris lebih berminat dengan angka berbanding sukan itu sendiri.

“Bagi masa depan, saya tidak tahu lagi, kerana saya akan sering pergi ke tempat yang menawarkan cabaran baru. Itulah sifat saya.”

Di sebalik semua kritikan itu, Toure menegaskan dia kekal komited terhadap City di padang.

“Apabila saya tiba di City, Pellegrini belum menjadi jurulatih. Seperti pemain, pengurus datang dan pergi. Seperti saya katakan sebelum ini, saya terhutang budi kepada penyokong City untuk berjuang hingga ke penamat karier saya di kelab ini.

“Keputusan saya tidak kerana perubahan pengurusan tapi lebih kerana cabaran yang ditawarkan kepada saya.”

Toure dikaitkan dengan Inter Milan dengan pengurusnya Roberto Mancini yang juga bekas pengurus City secara terbuka melahirkan kekagumannya terhadap pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 8:23 AM