Saya memandu Proton Iswara sedan keluaran 1995. Suhu kereta saya melebihi separuh daripada biasa.

BagI mengatasinya, saya tukar tangki air dan hos yang baru, namun masalah itu masih berterusan.

Selain itu, enjin kereta ini sudah melakukan baik pulih. Apa lagi yang saya perlu lakukan?

TAMBI,

Melaka

Masalah yang dihadapi mungkin berpunca daripada kombinasi beberapa faktor. Pengesan dan meter suhu tidaklah begitu tepat bacaannya dan menjadi sekadar panduan.

Agak lazim bagi sebuah kereta menunjukkan bacaan yang lebih tinggi berbanding ketika baru membelinya.

Anda boleh cuba tukar pengesan suhu baru memandangkan umur kereta agak lama dan mungkin ia kurang berfungsi akibat terhakis atau disaluti karat, sekali gus memberikan bacaan berbeza.

Namun sebagai panduan asas, jika air tidak mendidih keluar sehingga berkurangan, maka tiada masalah untuk terus menggunakan kereta anda.

Cuma pastikan cecair penyejuk sentiasa mencukupi dan dicampur dalam kadar yang betul. Pastikan juga kebersihan tangki radiator dan periksa juga sama ada kipas masih berfungsi sempurna.

Biarpun berpusing, kadangkala kipas tidak cukup laju. Jika anda kerap menggunakan penyaman udara, kipas penyejuk akan sentiasa beroperasi setiap kali enjin dihidupkan, jadi ada kemungkinan ia sudah ‘uzur’.

Adakah pam air anda juga ditukar? Bagi kereta yang sudah berumur, bebilah pam air mungkin sudah haus dan menjadi kecil atau menirus serta menyebabkan aliran bahan penyejuk menjadi perlahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:03 AM