Oleh Norhayati Nordin


Meskipun kemenangannya meraih trofi Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) baru-baru ini kurang disenangi pelakon lain, aktor Shah Iskandar Mahfuz tetap bersikap positif.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan di atas apa yang berlaku, Shah, 33, menganggap insiden itu seperti satu kritikan membina untuk dirinya terus memantapkan kerjaya lakonan.

Ditemui dalam satu majlis hiburan, Shah berkata, setiap orang bebas memberikan kritikan atau sebarang pandangan terhadap sesuatu perkara yang kurang disenangi termasuk seperti yang diluahkan Sharnaaz Ahmad.

“Apapun kemenangan saya untuk trofi itu ditentukan peminat. Saya sendiri tidak menduga akan memenanginya dan agak terkejut juga sebaik mendengar nama diumumkan.

“Saya sendiri sedar calon lain seperti Sharnaaz, Amar Baharin termasuk dua pelakon yang dianggap senior iaitu Adi Putra dan Aaron Aziz pastinya memiliki peluang lebih cerah untuk menang.

“Namun, peminat yang mengundi dan saya menerima kemenangan itu dengan hati terbuka,” ujarnya mengakui tidak terkilan langsung dengan kenyataan Sharnaaz.

Menurut aktor kelahiran Singapura ini lagi, dia tidak kecewa dengan kenyataan itu kerana menganggap sekurang-kurangnya Sharnaaz seorang yang berani untuk bersuara.

Ujar Shah, dia sangat menghormati Sharnaaz dengan sikapnya itu kerana baginya tidak ramai orang yang berani bersuara meluahkan rasa tidak kepuasan hati .

“Selalunya apa yang saya tahu, kebanyakan orang suka mengambil langkah berdiam diri atau bercakap di belakang. Jadi, saya hormat tindakan Sharnaaz itu kerana dia berani.

“Dengan apa yang berlaku itu, sejujurnya ia takkan menghalang saya untuk bekerjasama dengan Sharnaaz suatu hari nanti kerana bagi saya, kami memang tiada masalah.

“Sekiranya ada tawaran memerlukan kami berlakon bersama selepas ini, saya tiada masalah untuk terima sekiranya jadual tidak bertindih,” katanya.

Hanya mampu mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada peminat yang setia menyokongnya, Shah berharap supaya dia terus diberi ruang dan peluang untuk menonjolkan bakat lakonan dimiliki.

Mengakui ada beberapa drama lakonannya yang sudah siap penggambaran dan belum ditayangkan, Shah baru baru ini membintangi drama Nasuha arahan Suhaimi Lua Abdullah yang disiarkan di TV9. Ia turut dilakonkan Tasha Shilla, Fattah Amin dan Jasmin Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 12:27 PM