BUAYA yang ditangkap SFC dan polis.
BUAYA yang ditangkap SFC dan polis.
Oleh Alias Abd Rani

Serian: Tiga buaya sepanjang antara 3.8 hingga 5.2 meter termasuk seekor yang pernah membaham penduduk berjaya ditangkap Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan polis di Sungai Sadong, di sini, semalam.

Tangkapan pertama pada 2.51 petang Sabtu lalu, membabitkan buaya sepanjang 3.8 meter (m) dengan berat kira-kira 420 kilogram (kg) di sungai berkenaan.

Jurucakap polis berkata, buaya kedua ditangkap pada 7.55 pagi semalam dengan kepanjangannya 4.3m serta berat kira-kira 500kg.

"Manakala ketiga sepanjang 5.2 meter dan berat kira-kira 600kg ditangkap pada 1.55 petang hari sama. Reptilia ini ditangkap menggunakan kaedah 'cari dan bunuh'.

"Seekor daripada buaya yang ditangkap iaitu sepanjang 5.2m mempunyai kesan tetakan di kepala, dipercayai membaham seorang penduduk Yusman Yusup, 32, pada 5.40 petang, 26 Mac lalu.

"Buaya itu ditetak mangsa ketika cuba melepaskan diri daripada gigitan. Perkara itu disahkan salah rakan mangsa yang kebetulan berada di lokasi pada hari kejadian," katanya.

"Dalam kejadian itu, mangsa dibaham buaya sebelum menetak reptilia itu menggunakan parang. Tindakan mangsa berjaya sebelum reptilia itu melepaskan gigitan.

"Mangsa kemudian dirujuk ke hospital namun disebabkan kecederaan dialami, doktor terpaksa memotong kedua-dua kaki hingga paras betis.

"Bagaimanapun, riwayat mangsa tidak berpanjangan apabila menghembus nafas di Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak pada 10.15 pagi, Sabtu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 11:01 PM