HAZARINA bersama pelbagai barangan ibu dan bayi yang dijual di kedainya di Lunatots Putrajaya.
HAZARINA bersama pelbagai barangan ibu dan bayi yang dijual di kedainya di Lunatots Putrajaya.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Bermula dengan niat untuk menambah pengetahuan mengenai kaedah penjagaan kesihatan diri dan penyusuan bayi membuatkan wanita berjiwa kental ini mula berjinak dalam bidang perniagaan.

Tanpa disangka, usaha Hazarina Ishak, 35, yang sering berkongsi idea dan pendapatnya di laman forum ibu dan bayi mula melangkah ke dunia perniagaan dan bergelar seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya kini.

Menurut Hazarina, segalanya bermula pada 2008 ketika dia hamil anak pertama yang menyebabkan dia perlu mendapatkan banyak informasi khusus buat dirinya dan anak bakal dilahirkan.

“Ketika itu saya rajin bertukar idea dengan wanita lain terutama berkaitan aspek penyusuan ibu sebelum saya mula mengetahui mengenai alat pengepam susu yang memudahkan ibu bekerjaya menggunakannya bagi meneruskan pemberian susu ibu secara eksklusif.

“Ketika itu, alat terbabit dijual dengan harga agak mahal dan ada yang mencecah ribuan ringgit, namun gaji sebagai pengaturcara komputer dan dibantu suami membolehkan saya membelinya untuk kegunaan sendiri,” ujarnya.

Hazarina yang juga anak kelahiran Kerteh, Terengganu berkata, bermula daripada itu dia mula mendengar pelbagai rungutan dan kesedihan daripada rakan yang tidak mampu membeli alat berkenaan kerana terlalu mahal.

“Memikirkan masalah yang dialami kebanyakan wanita yang memerlukan alat pengepam susu menyebabkan saya terpanggil untuk memikirkan kaedah terbaik bagi membantu menangani masalah terbabit.

“Saya mula melakukan sistem pembayaran ansuran bulanan seperti sistem ‘kutu’ bagi membantu serta memudahkan wanita terdiri daripada rakan, kenalan dan sanak-saudara untuk mendapatkan alat terbabit daripada saya,” katanya.

Hazarina turut mengakui usaha pertamanya itu membuahkan hasil kerana dia menerima banyak pujian dan sokongan daripada pelbagai pihak terutama golongan wanita kerana membolehkan mereka memiliki alat pengepam susu yang dibayar secara ansuran.

“Saya puas kerana dapat membantu ramai wanita terutama bagi ibu bekerja meneruskan penyusuan badan yang ternyata memberi banyak faedah khususnya kepada kesihatan bayi.

“Sejak itu juga saya semakin berminat dengan dunia perniagaan yang bukan saja memberi pulangan yang agak lumayan malah memudahkan saya menguruskan hal ehwal rumah tangga dan anak,” ujarnya.

Menurut Hazarina, keterujaan untuk membantu golongan ibu yang memerlukan pelbagai barangan untuk diri sendiri dan si kecil tersayang menyebabkannya terus berkecimpung dalam bidang perniagaan berkenaan.

“Ketika itu saya berniaga sambilan dengan menjual barangan secara atas talian untuk menambah pendapatan keluarga sebelum nekad berhenti bekerja dan menjadikannya sebagai kerjaya utama.

“Berkat kesabaran dan kegigihan akhirnya saya mampu memiliki sebuah kedai khusus menjual barangan ibu dan anak dibantu suami pada Julai 2010,” katanya.

Hazarina yang kini mampu tersenyum bangga kerana kedainya yang menjual pelbagai barangan lengkap ibu dan anak seperti alat pengepam susu, baju, barangan bayi dengan pelbagai pilihan menarik iaitu Lunatots di Presint 15 Putrajaya mendapat sambutan menggalakkan.

“Konsep Lunatots yang berpegang kepada asuhan secara semula jadi terutama penyusuan ibu selain menjual pelbagai produk termasuk barangan kesihatan menarik minat wanita bergelar ibu untuk berkunjung ke kedai saya.

“Syukur kerana matlamat asal saya berkecimpung dalam bidang perniagaan ini tercapai dan bagi saya sesiapa saja mampu untuk berjaya asalkan tahu matlamat dan mengekalkan sikap tidak cepat berputus asa,” katanya yang kini mempunyai tiga cahaya mata.

Menurut Hazarina, soal modal bukanlah masalah utama yang perlu dibimbangkan kerana pasti ada cara yang boleh digunakan untuk memulakan sesebuah perniagaan.

“Biar bermula secara kecil-kecilan namun mempunyai impian yang besar selain tidak suka bertangguh, pasti segala yang diimpikan akan tercapai,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 12:47 PM