Oleh Ahmad Othman

Kota Tinggi: Suami isteri maut dalam kemalangan selepas kereta mereka bertembung dengan kenderaan lain, di Kilometer 48 Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini, 3 petang ini.

Kejadian berhampiran Ladang Getah Malaysia (LGM) Jalan Mawai itu meragut nyawa mangsa yang dikenal pasti sebagai Abdul Sidek Selamat, 59, dan Siti Mariam Abdul Hamid, 53.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan di hantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi.

Jurucakap bomba berkata, sepasukan lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan 3.07 petang.

Menurutnya, pihaknya terpaksa bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

"Operasi tamat 4.01 petang. Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Difahamkan, pemandu kenderaan lain itu hanya cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 11:00 PM