GOLONGAN gelandangan membawa anak untuk mendapatkan makanan percuma di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
GOLONGAN gelandangan membawa anak untuk mendapatkan makanan percuma di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
STREET Interview mendapat sambutan dalam kalangan gelandangan.
STREET Interview mendapat sambutan dalam kalangan gelandangan.
Oleh Roslan Ibrahim


Setiap hari mereka bertungkus-lumus memikirkan bagaimana mahu membantu golongan yang terbiar atau gelandangan di ibu kota, bukan sekadar memberi makanan dan minuman percuma, tetapi mencarikan pekerjaan kepada mereka.

Banyak masa, keringat dan fikiran digunakan untuk menyediakan kemudahan lebih selesa walaupun kadangkala terpaksa menggunakan wang saku sendiri.

Inilah pengorbanan yang kadangkala masyarakat tidak pernah tahu atau menghargai bagi petugas yang membantu golongan gelandangan di ibu kota.

Penyelaras Be the Change Resources, Hayati Ismail berkata, pengorbanan yang dilakukan kerana mereka prihatin dengan nasib gelandangan di ibu kota yang terpaksa hidup melarat, tidur di kaki lima atau hentian bas, makan ala kadar dan pakaian yang tidak terurus.

Beliau berkata, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu golongan gelandangan memberi makanan dan minuman percuma tidak pernah mengharapkan ganjaran, tetapi mereka melakukan tanggungjawab itu secara ikhlas dan sukarela.

“Jika mahu mengharapkan ganjaran, saya rasa tiada siapa sanggup melakukan tugas sedemikian kerana kerja tidak tentu masa dan mereka yang ditolong bukan daripada golongan berada, tetapi insan daif dan dianggap golongan terbiar.

“Saya memuji petugas NGO yang sanggup mencari tajaan bagi menyediakan makanan dan minuman, bersekang mata di waktu malam dan kadangkala belum dapat berehat selepas menyelesaikan tugas hakiki dan terpaksa bekerja membantu gelandangan.

“Mereka yang melakukan tugas, saya anggap ‘wira’ kerana mereka sanggup mengorbankan diri sendiri bagi menggembirakan orang lain,” katanya.

Jangan terkejut jika petugas NGO yang membantu memberi makanan dan minuman kepada golongan gelandangan itu adalah golongan profesional terdiri daripada doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan ahli perniagaan.

Beliau dan rakan-rakannya melalui Be the Change Resources membantu golongan gelandangan di ibu kota sejak tahun lalu, tetapi menggunakan pendekatan berbeza kerana kebanyakan NGO memberi makanan dan minuman kepada pihak terbabit.

Antara NGO popular yang memberi bantuan makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di ibu kota ialah Dapur Jalanan, Soup Kitchen dan Pertiwi selain beberapa individu membabitkan tokoh korporat.

“Kami tidak terlalu menumpukan kepada memberi makanan dan minuman percuma, tetapi membantu mereka mencarikan pekerjaan bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Jika tiada pekerjaan, mereka tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan keperluan asas lain seperti pakaian dan tempat tinggal.

“Akibatnya, mereka akan tidur di kaki lima, hentian bas dan mencari sisa makanan di restoran makanan segera atau tong sampah. Ini lebih teruk dan memudaratkan kerana memberi imej negatif kepada negara,” katanya.

Katanya, selepas berbincang dengan beberapa rakan dalam syarikat itu, mereka setuju untuk mencarikan pekerjaan kepada golongan gelandangan.

“Setiap malam Khamis, beberapa petugas kami akan membuka kaunter melalui ‘Street Interview’ bagi memberi peluang golongan gelandangan mendaftar untuk mencari pekerjaan.

“Antara pekerjaan yang ditawarkan ialah di restoran makanan segera, pekerja am dan pengawal keselamatan kerana kebanyakan mereka tiada kemahiran khusus, malah sudah lama tidak bekerja,” katanya.

Menurutnya, setiap gelandangan yang diterima bekerja akan menerima gaji pokok RM900 sebulan dan tempat tinggal.

“Ini syarat yang kami letakkan kepada majikan yang mahu mengambil golongan gelandangan kerana jika mereka mendapat tempat kediaman, isu tidur di kaki lima atau hentian bas tidak timbul lagi.

“Ramai di antara golongan gelandangan mempunyai anak, bayangkan kehidupan mereka jika tidur di merata-rata, apatah lagi jika hujan dan hanya berlapik kertas surat khabar,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan gelandangan yang sedia untuk bekerja, syarikat itu akan menyediakan kemudahan latihan supaya mereka tidak menghadapi sebarang masalah atau ‘terkejut’ dengan persekitaran baru nanti.

“Konsepnya sama dengan amah warga asing yang bekerja di negara ini yang diberi latihan secukupnya sebelum dihantar ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

“Sebelum ini kami berjaya menawarkan pekerjaan kepada ramai gelandangan, tetapi selepas beberapa minggu bekerja, mereka menghilangkan diri atau tidak datang bekerja.

“Kita harus akui, gelandangan sudah biasa hidup bebas, bangun mengikut masa mereka dan tidak berdisiplin.

“Apabila bekerja dengan majikan, mereka perlu mengikut masa yang ditetapkan, bangun awal dan berdisiplin. Ini yang gagal mereka lakukan,” katanya.

Beliau yakin jika mendapat bantuan kerajaan, mereka boleh mengubah hidup gelandangan yang tidak terurus itu menjadi manusia berguna kepada masyarakat dan negara.

“Berikan mereka peluang untuk membina hidup seperti orang lain kerana kebanyakan mereka bukan mahu menjadi gelandangan, tetapi tuntutan hidup yang hebat menyebabkan mereka gagal dan terjebak dalam percaturan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 1:16 PM