HALIMAH ketika menggoreng ayam kampung di kedainya di Pengkalan Kubor. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
HALIMAH ketika menggoreng ayam kampung di kedainya di Pengkalan Kubor. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
Oleh Hisyam Salleh

Tumpat: “Awok jange terkejut, anok mokcik 14 ore (Awak jangan terkejut, anak makcik ada 14 orang). 12 perempuan, dua lelaki,” kata Siti Nur Halimah, 65, pengusaha kedai makan ayam kampung dan gulai itik serati yang sangat popular di Pengkalan Kubor, di sini.

Halimah mula berniaga di sini sejak 28 tahun lalu dan didaftar atas nama anak keempatnya serta dibantu 13 yang lain dimusim cuti sekolah.

Walaupun kebanyakan anaknya sudah memiliki kerja tetap, namun selepas waktu kerja, tujuh daripada 12 anak-anaknya akan membantu menguruskan kedai makan itu.

“Ketika cuti sekolah baru-baru ini, 12 beradik yang lain termasuk dua yang masih menuntut di IPT balik ke kampung bagi membantu mak di kedai,” kata anak ketujuh Halimah iaitu Asmani, 33, kepada wartawan Harian Metro, sebentar tadi.

14 anak yang dibesarkan Halimah adalah Kamariah, 48, suri rumah; Kamaruddin, 46, guru; Kamarizan, 44, guru; Kamazila, 42, pemilik kedai; Kamarinah, 40, pegawai; Asiken, 38, guru; Asmani, 33, kerani; Asmak, 31, guru; Atirah, 30, kerani; Aimi, 28, termasuk Amir, 26; Amira, 24, membantu di kedai; manakala pasangan kembar Amalin dan Anis, 21, masih lagi belajar.

Sejak bermulanya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Pengkalan Kubor, kedai Halimah tidak putus-putus dipenuhi pelanggan. 

“Hampir 300 ekor ayam kampung dimasak bagi memenuhi permintaan pelanggan ketika PRK DUN Pengkalan Kubor ini,

“Sebelum ini (PRK Pengkalan Kubor) paling banyak pun 80 ayam kampung sahaja. Bila ramai orang datang, terpaksa saya tambah lagi,” kata Halimah di sini.

Halimah berkata, selain ayam kampung yang menjadi kegemaran pelanggannya, gulai itik serati yang disediakannya juga mendapat permintaan yang tinggi. 

“Alhamdulillah, rezeki saya anak beranak di sini sangat murah sepanjang PRK ini,” katanya.

Menurut Zawawi Yusof, beliau menjadi pelanggan tetap di kedai makan itu sepanjang tempoh PRK Pengkalan Kubor dijalankan.

“Harganya berpatutan dan banyak lauk pauk yang boleh saya pilih terutamanya ayam kampung dan gulai itik serati,” katanya.

Bagi Nordin Yaakob, dia juga gemar mengisi perut di sini jika berada di kawasan berhampiran.

“Di sini mudah. Kalau ingat nak makan apa pun, semua ada. Ayam kampung, gulai itik serati menjadi pilihan saya. Harganya pula berpatutan,” katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 September 2014 @ 8:07 PM