Oleh Fardy Bungga dan Nabihah Kamal

Subang Jaya: Dua pasangan kekasih termasuk seorang penjawat awam berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan dalam satu serbuan selepas didapati terbabit dalam sindiket pengedaran dadah jenis ganja di USJ14, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pasangan pertama ditahan di kawasan Goodyear Court 9 dan didapati membawa sekotak rokok yang mengandungi dadah ganja seberat 1.09 gram.

Menurutnya hasil soal siasat suspek membawa polis ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan menemui 1 ketulan mampat ganja bersama 19 packet kecil yang dipercayai untuk diedarkan kepada pembeli.

" Sepasang kekasih lagi ditahan di dalam rumah berkenaan yang dipercayai bertindak sebagai ejen untuk menjual dadah terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya,sebentar tadi.

Menurutnya jumlah keseluruhan rampasan ganja dianggarkan seberat 1.4 kilogram dan bernilai RM3,500 berdasarkan harga pasaran semasa.

" Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 11:29 AM