TAK guna khidmat pembantu rumah, Ayu lebih rela suami uruskan anak.
TAK guna khidmat pembantu rumah, Ayu lebih rela suami uruskan anak.
Oleh Norhayati Nordin


Selepas enam tahun membina rumah tangga dengan suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 28, mahligai kehidupan penyanyi Ayu Damit bagaikan sudah lengkap.

Pada Januari lalu, pemilik nama sebenar Norayu Awang Damit ini selamat melahirkan anak ketiganya, Syed Afiq Najmi yang kini baru berusia dua bulan.

Meskipun baru tamat tempoh berpantang, Ayu sudah ligat bekerja.

Ditemui pada majlis kempen amal membantu Persatuan Kebajikan Kanser Payudara di ibu kota, baru-baru ini, Ayu berkata, dia seorang yang aktif.

“Tiada sebab untuk saya berpantang lama-lama kerana Syed Afiq adalah anak ketiga dan saya sudah tahu menjaga diri.

“Saya pun sebenarnya sudah berehat lama kira-kira satu tahun juga sejak mengandung lagi. Jadi sekarang tiba masa untuk saya bekerja semula.

“Meskipun tiada single baru dirakam, saya cuba sibukkan diri dengan menyertai pelbagai majlis amal yang dianjurkan syarikat korporat tempatan,” katanya.

Berbicara mengenai penjagaan bayinya apabila dia keluar bekerja, Ayu berkata, segala urusan anak-anak akan dikendali suaminya.

“Saya tiada pembantu rumah dan tidak berminat pun menggunakan khidmat mereka kerana kurang yakin dan bimbang.

“Apatah lagi, sekarang banyak sangat kes membabitkan pembantu rumah mendera anak majikan. Saya sendiri pernah sebenarnya pernah menyaksikan kejadian itu.

“Justeru, saya akan bimbang dan rasanya tidak boleh bekerja jika anak-anak dijaga pembantu rumah. Jadi lebih baiklah suami saya yang menjaga sendiri,” katanya.

Kata ibu kepada Syed Nasrul Haikal, 6, dan Sharifah Alya Adriana, 4, serta seorang anak angkat perempuan, Nur Qalisha Humairah yang baru berusia setahun lebih itu, keselesaan anak menjadi keutamaan dia dan suami.

Masih takut memandu

Ayu yang masih mengharapkan suami untuk menghantar dia menghadiri majlis hiburan berkata, dirinya belum ada kekuatan untuk memandu sendiri.

“Lesen memandu memang sudah ada, tetapi perasaan takut di jalan raya masih tak mampu saya hindar terutama ketika jalan sesak dan di laluan berbukit.

“Saya masih takut lagi. Jadi apabila suami menghantar saya, rasanya itu lebih selamat dan membuatkan agak selesa,” katanya.

Ayu yang masih sibuk mengusahakan penanaman kelapa dan nanas berkata, banjir yang berlaku sekitar hujung tahun lalu turut memusnahkan banyak tanaman di ladangnya.

Katanya, kira-kira 5,000 pokok nanas yang ditanam musnah akibat banjir dan kini dalam perancangan proses menanam semula.

Menurut Ayu, mujur tanaman kelapa diusahakan tidak terjejas teruk berbanding nanas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:18 AM