CONTOH kediaman tradisional.
CONTOH kediaman tradisional.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Konsep kediaman eko kini semakin dipopularkan oleh kebanyakan pemaju hartanah bagi memberi tambah nilai kepada pembeli dengan kediaman yang bersifat mesra alam.

Namun, adakah kediaman mesra alam ini hanya berpaksikan kawasan hijau yang mengelilingi kediaman atau ia mencakupi kriteria cekap tenaga saja?

Sebenarnya kedua-dua perkara itu adalah penting bagi membentuk konsep kediaman eko atau mesra alam yang mana ia mempunyai ciri melindungi alam sekitar serta memberi manfaat kepada pembeli.

Sebelum ini, laporan mengenai sistem penanda aras Indeks Bangunan Hijau (GBI) pernah disiarkan iaitu sistem yang mampu membolehkan pemaju perumahan memperoleh pengecualian cukai sepenuhnya terhadap pembangunan komersial dan kediaman yang dibangunkan.

Perkara ini bagi menggalakkan lebih banyak pemain industri pembinaan membangunkan bangunan jenis mesra alam atau eko bagi memberi manfaat kepada manusia dan alam sekitar.

Presiden MGBC, Ar Sarly Adre Sarkum berkata, konsep membangunkan kediaman eko ini adalah berasaskan konsep kediaman tradisonal yang mana ia menitikberatkan pelbagai perkara antaranya sistem pengudaraan, pencahayaan dan pengaliran air.

Beliau berkata, konsep pembangunan rumah eko sebenar akan dipengaruhi oleh pelbagai aspek terutamanya dari segi pembinaan, sistem pengairan, bahan binaan, landskap dan inovasi.

“Jika merujuk kepada GBI kriteria yang disebutkan itu penting bagi menampilkan konsep eko yang sebenar kerana setiap satu aspek itu mempunyai kepentingan dalam memulihara alam sekitar serta memberi manfaat kepada manusia yang mendiami rumah berkenaan serta orang-orang lain mahupun kehidupan lain di sekelilingnya.

“Sekiranya konsep rumah eko itu hanya ditumpukan kepada pembangunan landskap saja ia tidak memberi definisi rumah eko sepenuhnya memandangkan aspek bahan binaan kediaman juga memainkan peranan untuk menyejukkan persekitaran dalam rumah secara semula jadi,” katanya kepada Bisnes Metro di sini semalam.

Katanya, setiap aspek pembangunan kediaman eko mempunyai keperluan tersendiri yang boleh mengimbangkan suhu, menjimatkan tenaga, kecekapan penggunaan air serta terus menjaga persekitaran hijau di sekeliling kediaman.

“Jika dilihat kepada konsep pembangunan kediaman tradisional yang merujuk kepada rumah kampung, mereka membangunkan kediaman yang tidak memerlukan sistem tambahan lain bagi menyejukkan kediaman atau menambah cahaya di dalam rumah.

“Ini kerana rumah tradisonal mempunyai reka bentuk yang baik untuk pengudaraan serta kemasukkan cahaya berbanding pembinaan kediaman moden yang bersifat tertutup serta memerlukan sistem sokongan seperti pendingin hawa bagi membolehkan kediaman mereka menjadi sejuk,”katanya.

Beliau berkata, malah, kediaman berkonsepkan tradisional sebenarnya lebih rendah kosnya memandangkan reka bentuknya memerlukan ruang terbuka seperti tingkap lebih luas bagi sistem pengudaraan dan ia mengurangkan kos pembinaan lebih banyak kawasan tertutup.

“Ketika ini terdapat pihak kerajaan tempatan yang meletakkan syarat pembangunan kediaman mempunyai lebih 30 peratus adalah kawasan hijau.

“Perkara ini penting bagi meningkatkan ekosistem semula jadi dan juga membantu melindungi persekitaran kediaman seperti daripada pencahayaan yang berlebihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:19 AM