ZED (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Aziz.
ZED (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Aziz.
Oleh Nor Akmar Samudin


Pelakon veteran, Datuk Aziz Singah, 74, yang sepatutnya menjalani pembedahan hari ini (semalam) terpaksa ditunda pada satu tarikh lain.

Aziz yang menghidap kanser prostat juga mengalami masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung 15 tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Beliau yang kini dirawat di Hospital Selayang (HS) sejak 13 Mac lalu berkata, selepas pembedahan itu keadaannya stabil dan tidak pernah mengalami komplikasi lain.

“Bagaimanapun saya dibekalkan ubat untuk mencairkan darah dan sekiranya saya perlu menjalani pembedahan merawat kanser itu dari merebak, pihak HS perlu mendapat kerjasama daripada IJN.

“Doktor yang merawat saya sekarang bimbang sekiranya pembedahan dilakukan tanpa pengawasan daripada pakar perubatan di IJN, kemungkinan pendarahan sukar dihentikan,” katanya.

Selasa lalu, Aziz menjalani pemeriksaan ‘bone scanning’ di Pusat Kanser Negara di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk mengetahui kanser yang dihidapinya berada pada tahap mana.

“Sejak itu, saya terus dirawat di hospital ini. Selepas keputusan ujian keluar barulah doktor menentukan sama ada dibedah atau mencari alternatif rawatan lain.

“Buat masa ini, pemakanan saya juga dipantau di mana saya tidak boleh langsung menjamah hidangan yang ada daging kerana bimbang sel kanser merebak lebih cepat.

“Saya hanya dibenarkan makan nasi bersama sayur-sayuran dan ikan. Pun begitu, dalam keadaan begini saya tidak berapa lalu makan,” katanya yang sentiasa ditemani isteri, Datin Zunita Mohamed.

Aziz berkata, sejak lima tahun lalu sel kanser sudah ada dalam tubuhnya, tetapi tidaklah berada pada tahap membimbangkan.

“Tiga bulan sekali, saya menjalani pemeriksaan di HS untuk mengtahui tahap bacaan kanser itu. Biasanya, ia berada pada bacaan 0.1, tetapi ketika saya datang ke HS pada 13 Mac lalu untuk pemeriksaan rutin, bacaan naik kepada 10.1.

“Saya terus ditahan di wad dan selepas lima hari saya dibenarkan pulang,” katanya.

Bagaimanapun, kata Aziz ketika berada dalam bilik sementara menunggu ubat daripada doktor dia terasa nak buang air kecil.

“Bukan air yang keluar, tetapi darah pekat dan saya terus ditahan lagi sehinggalah hari ini. Akibat daripada itu saya membuang air kecil beg yang disediakan, tetapi sekarang air kencing saya tidak lagi berdarah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aziz yang mencipta nama menerusi drama bersiri PJ Holdings pada 1980-an tidak lagi aktif dalam bidang lakonan.

“Drama terakhir lakonan saya ialah Tanah Kubur arahan Rashid Sibir. Pada usia begini, saya perlu memilih watak dan jalan cerita.

“Tawaran berlakon memang banyak kerana industri lakonan tempatan kekurangan artis veteran, tetapi sukar untuk saya penuhi. Selepas sihat nanti, saya akan berehat panjang.

“Bukan saya nak menghilangkan diri terus daripada industri, tetapi apabila Allah SWT beri saya hidup sehingga umur ini, Dia beri peluang kepada saya untuk memperbetulkan diri.

“Saya bersyukur ke hadrat-Nya kerana diberikan keluarga yang bahagia, isteri yang baik dan setia serta anak yang berjaya,” katanya.

Turut melawat Aziz kelmarin, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi dan ahli persatuan iaitu, Zack Kool, Lina Tan dan S Subhash.

Dalam lawatan itu, SENIMAN turut menyampaikan sumbangan kepada Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 11:01 AM