MOHD Zahir menunjukkan cara kopi dipanggang.
MOHD Zahir menunjukkan cara kopi dipanggang.
BIJI kopi yang siap dipanggang.
BIJI kopi yang siap dipanggang.
KOPI beras.
KOPI beras.
PRODUK Kopi ‘O’ Kampung.
PRODUK Kopi ‘O’ Kampung.
KOPI kisar menggunakan seratus peratus kopi asli.
KOPI kisar menggunakan seratus peratus kopi asli.
ZAINAB melayan pelanggan tetapnya.
ZAINAB melayan pelanggan tetapnya.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Tidak perlu terlalu pekat, tapi rasa dan aromanya teradun sebati dalam secawan kopi.

Seteguk air yang diminum pula tidak membosankan atau meninggalkan kesan masam dan pahit.

Itu antara kelebihan Kopi ‘O’ Kampung Original keluaran anak tempatan di Pekan Nanas, Pontian, Johor.

Rahsia keenakan serbuk kopi dihasilkan pula terletak pada teknik penggorengan kopi beras.

Jika dulu, biji kopi perlu digoreng dalam kuali, kini tugas memanggangnya dipermudahkan.

Pengusaha kopi dan roti, Mohd Zahir Mohd Saman, 67, membangunkan perniagaan kopi kampung berjenama tempatan.

Setiap hari 25 kilogram biji kopi digoreng menggunakan alat khas dikenali sebagai ‘barrel.’

Menggunakan slogan ‘Suci Lagi Bersih’, kopi kampung seratus peratus biji kopi asli terpilih itu sangat berbeza daripada produk lain di pasaran.

Bagi empunya diri, deruan biji kopi dicurahkan ke dalam besin aluminium membuatkan dirinya tidak keruan.

Semahunya ingin saja ditolak suruhan ibu atau mencari akal untuk tidak melakukannya.

Bukan berkira, tetapi kerja menggoreng kopi amat remeh dan mengambil masa lama untuk disiapkan.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, tugas menggoreng kopi seakan sebati dalam dirinya.

Rupanya tersirat seribu makna disebalik suruhan ibu itu.

Siapa sangka, status ‘budak kopi’ dipegangnya suatu ketika dulu mengubah laluan hidupnya kini.

Kopi beras yang dibeli daripada peraih tempatan kini menjadi ‘ibu duit’ kepada dirinya apabila mengusahakan Gerai ZA & ZA.

Warung kopi yang terletak di Batu 30, Pengkalan Raja, Pekan Nanas, Johor, menjadi ikon bagi produk kopi kampung.

Kopi yang disajikan seratus peratus asli tanpa penggunaan bahan campuran diminati ramai termasuk pelanggan tetap dari Kota Singa.

Malah jika bernasib baik, anda berpeluang melihat sendiri proses menggoreng kopi.

Bagi Mohd Zahir, aktiviti menggoreng biji kopi bermula dari 3.30 hingga 5.30 petang.

Dia hanya mengangkat biji kopi selepas selesai menunaikan solat Asar di masjid berdekatan.

Tidak lengkap ke warung itu andai tidak mencuba roti naik buatan tangan isterinya, Zainab Ibrahim, 60.

Ia umpama gabungan menu wajib perlu dicuba pelanggan kerana disitulah terletaknya keistimewaan kopi ‘o’ kampung.

Resapan air kopi ‘o’ ke rongga roti akan menjadikan menu petang lebih istimewa.

Berkunjung ke warung tepi jalan menghala ke Pontian itu akan membuatkan anda seakan berada di gerai kopitiam popular.

Dengan kos RM2.10, anda dapat menikmati secawan kopi berharga RM1.50 dan sepotong roti naik berharga 60 sen.

Uniknya, pelanggan dijanjikan dua sudu serbuk kopi yang akan dibancuh ke dalam setiap gelas.

Mohd Zahir berkata, idea membangunkan gerai kopi tercetus pada 1995 selepas mengambil keputusan bersara awal sebagai kakitangan kerajaan.

Menurutnya, berbekalkan modal sendiri, dia bersama isterinya mengusahakan gerai dengan kos RM60,000.

“Mulanya saya menggoreng biji kopi menggunakan kuali berkapasiti dua kilogram pada satu-satu masa.

“Lonjakan permintaan daripada pelanggan memaksa kami untuk mencipta mesin penggoreng berkapasiti tinggi,” katanya.

Menggunakan resipi asli ibunya, kopi yang digoreng dibiarkan sejuk terlebih dulu.

Menurutnya, kopi tidak boleh dikisar serta-merta kerana rasa dan baunya belum menjadi.

“Bagi mendapat serbuk kopi yang berkualiti, pengudaraan sangat penting ketika proses penyimpanan.

“Kopi yang disangan (goreng) disimpan untuk tempoh dua ke tiga hari sebelum dikisar bertujuan membangkitkan bau dan rasa pada tahap maksimum,” katanya.

Keputusan berhenti kerja diambil kerana tidak mahu yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.

Bapa kepada empat anak itu berkata, setiap hari ada saja pelanggan baru yang datang untuk menikmati secawan kopi kampung.

“Pelanggan kebanyakkan datang dari seluruh negara sama ada secara berkumpulan atau pun solo.

“Ada juga pelanggan yang datang ke sini, semata-mata nak menghilangkan rasa loya selepas menikmati makanan laut di Kukup,” katanya yang turut menjual produk nanas tin.

Cerita berkenaan kisah kopi kampung yang diviralkan dari mulut ke mulut oleh pelanggan dan pemandu bas turut mempromosikan kopinya.

“Paling membanggakan, produk ini pernah menjelajah ke Dubai, namun tidak dapat dipasarkan akibat jarak yang jauh.

Dia juga mencari ruang untuk menambah ilmu berkaitan kopi dengan mengumpul pelbagai risalah ilmiah termasuk kajian penyelidik luar.

“Ikut sejarah, kopi ini diusahakan penduduk kampung di sini sejak 50 tahun lalu.

“Kebanyakkan mereka mengusahakan kopi jenis Labrika kerana mempunyai ciri buah lebih besar dan kurang berasid,” katanya yang mendapatkan bekalan daripada peraih tempatan di Kampung Parit Sikom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 1:33 PM