Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Amran Yahya

Kuala Pilah: Seekor tapir dianggarkan seberat 300 kilogram mati dipercayai dirempuh sebuah kenderaan awam di Kilometer 20, Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran kawasan Rehat & Rawat (R&R) Ulu Bendul, di sini, 7.50 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, tapir berkenaan dipercayai melintas jalan dari kawasan R&R terbabit menuju ke Hutan Rekreasi Ulu Bendul.

Katanya, ketika melintas, haiwan berkenaan dilanggar kenderaan dan mati di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala serta badan.

Menurutnya, pihaknya sudah mengambil bangkai haiwan berkenaan untuk menjalankan siasatan dan bedah siasat oleh pegawai PERHILITAN Jempol.

"Bangkai ini akan ditanam di kawasan berhampiran pejabat PERHILITAN Jempol esok pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:00 PM