MESSI (kiri) meraikan jaringan bersama Neymar.
MESSI (kiri) meraikan jaringan bersama Neymar.

Madrid: Barcelona memastikan mereka sekurang-kurangnya memiliki kelebihan satu mata berbanding Real Madrid di persada La Liga apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi ‘Clasico’ minggu depan selepas Lionel Messi meledak dua gol bagi membolehkan pasukannya menang 2-0 ke atas Eibar, kelmarin.

Barca memintas Real yang tewas kepada Levante, Ahad lalu dan kelmarin, mereka mempamer satu lagi aksi membanggakan yang dijana Messi sekali gus membolehkan mereka 65 mata dengan berbaki 11 perlawanan.

Xavi dan Andres Iniesta direhatkan manakala Messi mengetuai pasukan dan dia meletakkan kelab gergasi Catalan itu di depan pada minit ke-31 di Stadium Ipurua selepas menyempurnakan penalti apabila Borja Ekiza memegang bola ketika menghalang cubaan bintang Argentina berkenaan.

Messi menjadikan kedudukan 2-0 menerusi tandukan hasil sepakan sudut Ivan Rakitic pada babak kedua dan ia adalah jaringan ke-32 di peringkat La Liga musim ini dan ke-43 dalam semua pertandingan.

“Ia cukup bagus, persembahan mantap ketika menentang pasukan yang berjaya menyukarkan kami,” kata jurulatih Barca Luis Enrique.

“Kami akan melangkah ke perlawanan menentang Real selaku pendahulu La Liga dan kami juga berada pada tahap terbaik.”

Sementara itu, juara bertahan Atletico Madrid pula bergelut untuk mencatat kemenangan sebaliknya sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Espanyol, kelmarin.

Kelab Madrid itu dilihat berpeluang muncul pemenang di Stadium Cornella-El Prat di Barcelona tetapi kad merah yang dilayangkan kepada Miranda kerana mengasari Abraham membuatkan impian itu lebur begitu saja.

Cubaan Fernando Torres diselamatkan penjaga gol Espanyol Kiko Casilla pada minit ke-11 manakala rembatan pemain tengah Koke sedikit tersasar.

Beraksi dengan kurang seorang pemain pada babak kedua membuatkan Atletico sukar menjana peluang dan hanya berpuas hati dengan keputusan seri. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:23 AM