Manila: Seramai 13 orang menjalani rawatan selepas mereka diketahui memakan daging anjing yang disahkan dijangkiti penyakit anjing gila.

Empat orang dewasa dan sembilan kanak-kanak itu diketahui memakan daging anjing tercemar itu selepas siasatan dilakukan terhadap kes yang disyaki penyakit anjing gila di pinggir bandar Zamboanga, selatan Filipina, kata pakar veterinar kerajaan Mario Arriola.

Anjing itu mati mengejut minggu lalu.

“Kami ke tempat itu untuk menyiasat sama ada anjing itu menggigit haiwan lain. Kami memenggal kepala bangkai haiwan itu dan menghantarnya untuk diuji,” kata Arriola.

Ujian itu mengesahkan anjing berkenaan dijangkiti penyakit anjing gila dan beberapa penduduk tempatan memakan dagingnya sebelum itu.

“Kami dimaklumkan 13 penduduk, termasuk kanak-kanak, memakan daging itu. Mereka tidak tahu anjing itu mati kerana penyakit berkenaan,” katanya.

Arriola berkata, tindakan pantas dilakukan sebagai usaha kerajaan untuk mengekang kematian dalam kalangan manusia akibat jangkitan penyakit anjing gila.

Menurut Arriola, tidak ada penduduk negara itu mati akibat penyakit berkenaan tahun lalu, kali pertama dalam sejarah.

Walaupun membunuh anjing untuk dimakan diharamkan di Filipina, daging haiwan itu amat popular dalam kalangan sebahagian masyarakat Filipina. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:21 AM