Bagi sesetengah individu, menonton wayang adalah perkara biasa. Namun, HAZRIL MDNOR percaya terdapat segelintir anak muda lebih suka menonton filem di rumah berbanding menghabiskan masa selama dua hingga tiga jam di panggung.

Hiburan hujung minggu perlu dirancang dengan teliti kerana bagi kebanyakan orang, waktu bersuka ria hanya boleh dinikmati pada hujung minggu. Contohnya, mereka yang bekerja perlu merancang aktiviti bermanfaat dan boleh berikan keseronokan serta dapat hilangkan tekanan. Bagi kebanyakan anak muda, hiburan seperti menonton wayang sudah menjadi kebiasaan.

Boleh dikatakan ada lagi aktiviti lain yang lebih mencabar seperti sukan ekstrem, tapi hiburan menonton wayang lebih santai dan tidak memerlukan perancangan teliti sebagaimana aktiviti lain. Lagipun, kediaman anak muda yang berdekatan dengan pusat membeli-belah menunjukkan kesan yang nyata pada peningkatan hobi ini.

Umumnya, remaja masa kini lebih sinonim menghabiskan masa lapang mereka menonton wayang bersama rakan berikutan aktiviti ini tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat membantu menaikkan taraf industri perfileman negara. Selain itu, anak muda bebas menyuarakan kritikan dan pendapat mereka tentang kualiti keseluruhan filem. Justeru, penerbit filem dapat memperbaiki kualiti filem ke tahap lebih tinggi.

Punca hilang mood

Situasi 1 - Membebel tanpa henti

Memang tak sah jika tak tutup mulut. Itu antara gangguan utama ketika kita seronok menonton filem di pawagam. Ada saja topik yang ingin dibualkan ibarat panggung itu seperti 'pasar malam'. Paling meluat apabila ada salah seorang yang memang tidak faham plot cerita dan selalu bertanyakan kawan sebelah hingga timbulkan rasa tidak selesa setiap kali terdengar perbualan mereka.

Situasi 2 - Bunyi dengkuran

Tak boleh salahkan cerita jika ia membosankan sebab mungkin kita sendiri yang tidak berapa memahami konsep dan plot filem itu. Tapi masalah lain pula berlaku jika ada orang tertidur dalam panggung kerana kebosanan. Setiap kali kita ingin fokus pada aksi yang ditayangkan, terus hilang mood bila terdengar bunyi dengkuran. Kesudahannya, tahan saja marah kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

Situasi 3 - Pencemaran bau

Sedang 'syok' menonton tiba-tiba hidung tercium bau kurang menyenangkan, terus hilang mood! Bau stoking yang tidak ditukar mahupun bau ketiak yang tiada perlindungan 'deodoran' pastinya membuatkan kita rasa kurang selesa untuk terus menonton apatah lagi ingin fokus pada jalan cerita. Kerana keadaan yang gelap, tak boleh salahkan sesiapa. Kesudahannya, sendiri kena tutup hidung dan cuba bernafas perlahan-lahan.

Situasi 4 - Kerusi urut

Sedang leka melihat babak aksi yang ditayangkan, kerusi tiba-tiba bergoyang dengan kuat. Puncanya, orang belakang sedang asyik mengurut kakinya di kerusi kita. Tak senang duduk dibuatnya. Lebih menyakitkan hati apabila kerusi ditendang-tendang kerana tak tahan ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 8:29 AM