Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri dan Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pemilihan peguam dalam urusan hartanah terutama dalam pembelian harta lelong sangat penting kerana tidak semua peguam mahir dalam bidang terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Aliy Property Advisors Sdn Bhd Mohd Ali Abdul Majis berkata, peranan peguam menentukan proses pemilikan hartanah berjalan lancar atau risiko berdepan kerugian terutama dalam proses pembelian hartanah menerusi lelongan.

“Pembeli harus tahu dalam proses lelongan terdapat dua jenis lelongan iaitu Loan Agreement cum Assignment (Laca) iaitu unit hartanah belum mempunyai hak milik/strata dan dilelong bank melalui pelelong seperti pejabat lelong, dewan dan hotel serta Non Laca iaitu unit hartanah yang mempunyai hak milik/strata dan dilelong melalui mahkamah serta pejabat tanah.

“Setiap daripadanya mempunyai tempoh masa berbeza untuk menyelesaikan baki pembelian rumah berkenaan iaitu antara 120 hari atau 90 hari saja,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang gagal dalam proses lelongan kerana tidak mendapat khidmat nasihat yang betul daripada peguam yang dilantik.

Mohd Ali berkata, jika peguam dilantik tidak berpengalaman dan tidak mahir dalam lelongan ia boleh menyebabkan pembeli kehilangan wang deposit 10 peratus yang disediakan.

Beliau berkata, jika peguam tidak membuat kerja sepatutnya dalam tempoh masa diberi dan yang akan terperangkap adalah pembeli.

“Pembeli juga harus peka dan mengambil tahu asas beli rumah lelong dan proses beli serta selepas beli hartanah lelong. Malah, pembeli juga boleh dan mempunyai hak meminta peguam menyegerakan proses sebelum tempoh diberi tamat.

“Nasihat saya, pilih peguam biasa dan mahir dengan urusan rumah lelong atau dalam bidang hartanah kerana pemilihan peguam sangat membantu dalam proses jual beli hartanah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:08 AM